Rabu, 12 Januari 2022 | 5:21pm
Sukan SEA Vietnam Mei depan tetap berlangsung sekalipun berlaku peningkatan kes COVID-19 di Hanoi.
Sukan SEA Vietnam Mei depan tetap berlangsung sekalipun berlaku peningkatan kes COVID-19 di Hanoi.

Sukan SEA Vietnam ikut jadual

KUALA LUMPUR: Sukan SEA Vietnam tetap akan berlangsung mengikut jadual pada Mei depan sekali gus meredakan kebimbangan temasya itu akan ditangguhkan sekali lagi atau dibatalkan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata ketika ini pihaknya hanya menunggu buku panduan protokol COVID-19 daripada jawatankuasa penganjur.

Katanya, COVID-19 tidak seharusnya menjadi penghalang bagi penganjuran temasya sukan selepas sudah dibuktikan pada Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, tahun lalu meskipun penularan wabak berkenaan masih belum reda.

"Untuk ketika ini, ia akan diteruskan. Kami hanya tunggu buku panduan untuk protokol COVID-19. Seperti yang saya katakan sebelum ini, penganjuran temasya itu akan terus fokus ke hadapan tetapi segala-galanya tertakluk kepada protokol dalaman mereka sendiri.

"Kita sudah boleh buat dalam keadaan COVID-19 yang begitu kuat apabila Olimpik dan Paralimpik Tokyo berjaya dianjurkan. Sekarang kita harap Sukan SEA pula dapat dianjurkan dengan protokol sama," katanya.

Sukan SEA Vietnam pada awalnya dijadual berlangsung dari 21 November sehingga 2 Disember tahun lalu namun ditangguhkan kepada 12 hingga 23 Mei berikutan penularan pandemik COVID-19.

Kebimbangan terhadap penganjuran temasya itu timbul sekali lagi selepas kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Vietnam yang sepatutnya berlangsung dari 22 sehingga 27 Mac depan dibatalkan minggu lalu.

Ia selepas berlaku peningkatan jumlah kes COVID-19 di negara itu termasuk di Hanoi, salah satu daripada 11 lokasi temasya Sukan SEA.

Berita Harian X