Rabu, 12 Januari 2022 | 1:44pm

TSG terima tajaan terbesar musim ini

KUALA TERENGGANU: Pasukan berbasikal nombor satu Asia yang dijenamakan semula, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), menerima suntikan semangat baharu selepas mendapat penajaan terbesar bernilai RM9.3 juta bagi mengharungi saingan lebih mencabar musim ini.

Malah pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu ditubuhkan pada 2011 juga turut menyambar dua pelumba baharu untuk memperkuatkan pasukan sekali gus mampu mengekalkan status tempat pertama Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tajaan terbesar dalam sejarah penubuhan kelab itu sejak sedekad lalu adalah dalam bentuk wang tunai, barangan dan perkhidmatan.

"Penjenamaan semula pasukan itu juga didorong tajaan daripada syarikat pengeluar basikal antarabangsa iaitu Polygon yang berpangkalan di Indonesia sebagai penaja utama TSG.

"Selain tajaan termasuk kerajaan negeri, TSG turut menjalin hubungan strategik dengan syarikat penerbangan, Turkish Airlines, Tourism Terengganu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Saya yakin dan percaya dengan penjenamaan semula pasukan dan ditambah dengan penajaan terbesar serta hubungan strategik, misi pasukan bertaraf benua itu untuk mengekalkan gelaran nombor satu Asia dan tiga pasukan benua terbaik dalam siri Jelajah Dunia bakal tercapai ditambah pula dengan pelumba tempatan dan import berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pasukan TSG di sebuah hotel, di sini malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Sementara itu Che Ku Mohd Izmuddin berkata, dua pelumba import baharu TSG musim ini ialah Jamal Hibatullah, 24, dari Indonesia dan pelumba kelahiran Ukraine, Anatolii Budiak, 26 yang juga pakar dalam pendakian.

Beliau berkata, selain dua pelumba itu, TSG turut mengekalkan pelumba musim lalu iaitu Metkel Eyob (Eritrea), Youcef Reguigui (Algeria), Jeroen Meijers (Belanda) Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) dan Goh Choon Huat (Singapura).

Lapan pelumba kelahiran Terengganu yang bakal menggalas cabaran TSG musim ini diketuai Mohd Zamri Saleh dan adiknya, Mohd Harrif, Shahrul Mat Amin, Amirull Fakhruddin Mazuki, Afiq Huznie Othman, Irwandie Lakasek, Nur Aiman Mohd Zariff dan Wan Abdul Rahman Hamdan.

"Jadual padat bakal menanti pelumba TSG musim ini dengan kejohanan sulung 'Tour of Sharjah' di UAE berstatus 2.2 yang dijadualkan bermula 28 Januari hingga 1 Februari depan sebelum pelumba menyertai 'Tour du Rwanda' yang menjadi sebahagian siri Jelajah Afrika dan kemudian bakal berentap dalam siri Jelajah Eropah," katanya.

TSG yang dibimbing jurulatih, Jeremy Hunt muncul juara Jelajah Asia 2021 dengan pungutan 856 Mata daripada 17 kejohanan disertai sekali gus menempatkan pasukan di kedudukan ke-42 dunia.

Barisan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada Majlis Memperkenalkan Pelumba, Penaja dan Meraikan Kejayaan Selaku Pasukan Terbaik UCI Asia Tour 2021 di Hotel Primula Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori
Barisan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) pada Majlis Memperkenalkan Pelumba, Penaja dan Meraikan Kejayaan Selaku Pasukan Terbaik UCI Asia Tour 2021 di Hotel Primula Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X