Isnin, 3 Januari 2022 | 9:10pm
Prinsipal TSC, Sayuti Zahit. - Foto BERNAMA
Prinsipal TSC, Sayuti Zahit. - Foto BERNAMA

TSC sasar emas Sukan SEA Vietnam

KUALA LUMPUR: Team Sapura Cycling (TSC) meletakkan sasaran tinggi bagi kempen musim ini bukan saja di peringkat Jelajah Asia UCI malah pada temasya Sukan SEA Vietnam.

Prinsipal pasukan, Sayuti Zahit berkata sasaran utama pasukannya pada tahun ini adalah membantu Malaysia meraih pingat emas di Sukan SEA Vietnam pada Mei ini.

Pelumba skuad TSC mempamerkan aksi positif pada Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan di Melaka minggu lalu dengan Nur Aiman Rosli berjaya mempertahankan gelaran dalam acara ujian masa individu elit lelaki manakala Saari Amri Abd Rasim memenangi lebuh raya elit.

"Walaupun jelajah (Asia) juga penting buat kami, namun sasaran utama bagi tahun ini adalah memenangi emas di Sukan SEA pada Mei," katanya.

"Kami mengintai kemenangan sama ada dalam ujian masa menerusi Aiman atau lebuh raya. Harap kami dapat mencapai objektif disasarkan.

"Kami juga berharap dapat mengekalkan jersi kuning Le Tour de Langkawi dan meraih semula gelaran nombor satu dalam ranking Jelajah Asia.

"Selain itu, kami juga berharap penganjur di Asia dapat memulakan jelajah di Asia supaya kami dapat mengurangkan kos perbelanjaan dan tidak perlu terlalu banyak ke Eropah untuk perlumbaan."

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi dua emas dalam acara berbasikal lebuh raya lelaki di Sukan SEA Singapura 2015 dan satu emas di Kuala Lumpur 2017.

Berita Harian X