Khamis, 30 Disember 2021 | 4:01pm
Atlet basikal Team Sapura Cycling, Mohammad Saari Amri Abd Rasim (jersi biru) meraikan kemenangannya selepas berjaya menjuarai acara Lepas Beramai-ramai Lelaki Elit pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan 2021, Bukit Katil, hari ini. - Foto BERNAMA

Saari lakar kejutan

MELAKA: "Saya tidak menduga memenangi perlumbaan kali ini kerana asalnya saya mahu membantu rakan mempertahankan kejuaraan," kata Mohamad Saari Amri Abd Rasim.

Itu reaksi pelumba Team Sapura Cycling berkenaan selepas mengungguli acara lepas beramai-ramai lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Kebangsaan di Bukit Katil, hari ini.

Tempat kedua milik Mohd Elmi Jumari (PDRM) dan Irwandie Lakasek dari Terengganu pula melengkapkan podium dalam perlumbaan sengit menuju ke garisan penamat yang terpaksa diputuskan menerusi 'photo finish' selepas masing-masing mencatat masa sama 4 jam 31.01 saat (s).

Menurut Saari, strategi awal pasukan ialah untuk membantu Akmal Hakim Zakaria mempertahankan kejuaraan dan dia tidak menduga mampu memintas Akmal pada saat akhir dengan rakan sepasukannya itu sekadar menduduki tangga keempat.

"Kami akui berada dalam momentum terbaik selepas pulang dari kejohanan di Thailand. Namun, peranan rakan sepasukan juga amat penting dalam memastikan juara kekal milik Sapura.

Atlet basikal Team Sapura Cycling, Mohammad Saari Amri Abd Rasim (tengah) dijulang pasukannya selepas menjuarai acara lepas beramai-ramai lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan 2021, Bukit Katil, hari ini. - Foto BERNAMA

"Apa yang pasti untuk mengekalkan kejuaraan amat sukar berbanding mempertahankan namun sesi latihan jelas membantu kejayaan ini," katanya.

Dalam acara wanita elit pula, Nur Aisyah Mohamad Zubir (Terengganu A) memenangi saingan diikuti Ju Pha Somnet (PDRM) dan pelumba Johor A, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad.

Dalam saingan bawah 23 tahun lelaki pula pelumba Terengganu Cycling Team, Wan Abd Rahman Hamdan mengungguli saingan dengan catatan masa 3'52:32s diikuti Muhammad Yusri Shaari (Perak A) dengan masa 3'52:37s dan Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo (Terengganu A) 3'52:37s.

Berita Harian X