Khamis, 30 Disember 2021 | 12:42pm
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Jadual padat nanti pesilat tahun depan

KUALA LUMPUR: Kem silat negara bakal mengharungi jadual padat bagi musim 2022 selepas hampir dua tahun tanpa menyertai kejohanan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kem silat bakal mengharungi temasya besar seperti Kejuaraan Dunia, Sukan SEA dan Sukan Asia.

Selain itu katanya, ada juga beberapa kejohanan terbuka dan ia tentunya menuntut latihan serta komitmen daripada pesilat.

Katanya, mereka dijadual memulakan kempen 2022 dengan Kejuaraan Silat Asia di Tashkent, Uzbekistan pada Februari ini bagi membolehkan pesilat bersedia dengan peraturan baharu yang diperkenalkan sebelum ini.

"Tahun depan amat sibuk selepas hampir dua tahun tidak menyertai pertandingan secara rasmi," kata Megat.

"Tahun depan ada Kejuaraan Dunia, Sukan SEA, Sukan Asia dan banyak negara lain yang menganjurkan Kejuaraan Terbuka bertaraf empat bintang ke atas.

"Kita akan menyertai Kejuaraan Silat Asia di Tashkent pada Februari ini. Ia satu kejohanan yang besar dan banyak negara sudah mengesahkan penyertaan.

"Oleh itu, kita tidak mahu ketinggalan kerana ia membabitkan peraturan baharu dan ini satu kejohanan yang besar. Jadi, kita perlu menyertainya."

Pada tahun lalu, peraturan baharu diperkenalkan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang bakal menyaksikan sukan tempur itu menjadi lebih ekstrem dan bersifat terbuka.

Berita Harian X