Selasa, 28 Disember 2021 | 4:16pm
Pelumba TSG melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Kebangsaan di Melaka.
Pelumba TSG melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Kebangsaan di Melaka.

TSG tekad rampas gelaran keseluruhan di Melaka

KUALA LUMPUR: Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) mengharapkan tuah memihak mereka pada Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Kebangsaan yang membuka tirainya di Melaka, esok.

Pada tahun lalu, gelaran juara keseluruhan disandang Nur Amirull Fakhruddin Mazuki pada 2019 dirampas seteru dari Team Sapura Cycling (TSC), Akmal Hakim Zakaria dan untuk kali ini tentunya TSG mengimpikan semula status berkenaan.

Pasukan bakal mengharungi cabaran kali ini dengan membariskan skuad berpengalaman yang dibarisi pemenang tiga peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL), Harrif Saleh, abangnya Zamri, pemenang jersi merah LTdL, Nur Aiman Zariff, Afiq Huznie Othman.

Turut berada dalam senarai pasukan adalah Shahrul Mat Amin, Wan Abdul Rahman Hamdan, termasuk Irwandie Lakasek yang mempamerkan prestasi memberangsangkan di Jelajah Thailand awal bulan ini dengan meraih dua penamat di pentas podium.

Koordinator pasukan TSG, Sharonjane Liau berkata, pasukan tentunya mahu merampas semula gelaran berkenaan dan akan berusaha sebaik mungkin dalam perlumbaan itu.

"Apa yang jelas, kami mahu memenangi semula gelaran dan melakukan yang terbaik namun ia bukan sesuatu yang mudah apatah lagi pasukan lain juga turut mempunyai kekuatan seperti Sapuran dan SNC Cycling," kata Sharonjane.

"Satu perlumbaan yang sengit buat kami tahun lalu di mana kami mengalami beberapa isu teknikal yang mengganggu beberapa pelumba kami termasuk Harrif.

"Amirull melakukan dengan baik dan berjuang sehingga penamat namun malangnya sedikit ketinggalan. Diharap semuanya dapat berlangsung dengan baik dan memihak kepada kami kali ini," tambahnya.

Kejohanan bakal membuka tirainya dengan perlumbaan ujian masa esok sebelum saingan lebuh raya berlangsung di Bukit Katil, Khamis ini.

Berita Harian X