Selasa, 28 Disember 2021 | 12:55pm
Aksi BJSS Thunderbolts dan Kedah Eagle Jr semalam.
Aksi BJSS Thunderbolts dan Kedah Eagle Jr semalam.

BJSS Thunderbolts tempah slot separuh akhir

KUALA LUMPUR: Jurulatih pasukan BJSS Thunderbolts, S Prakash mahu anak buahnya melupakan detik kekecewaan terkandas di suku akhir pada kempen Piala TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2019.

Katanya, pasukan perlu pantas mencari jalan bagi mengatasi 'ketakutan' itu selepas menempah tiket ke pusingan separuh akhir 2021 yang dijadual bertemu SMKDBL-PHJ-MSNJ esok.

"Menentang SMKDBL di separuh akhir, memang ada tekanan walaupun dengan reputasi kami sebagai juara liga. Kebanyakan pemain saya berusia bawah 17 tahun.

"Saya harap mereka terus bersemangat tinggi dan bermain mengikut apa yang dirancang untuk memastikan tiket ke final nanti," kata Prakash.

Semalam, BJSS Thunderbolts mara ke separuh akhir selepas menewaskan Kedah Eagle Jr 4-0 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sekali gus membenarkan pasukan untuk memburu gelaran berganda tahun ini selepas muncul juara Divisyen 1 TNB MJHL.

Dalam perlawanan suku akhir itu, empat gol pasukan dijaringkan Muhammad Farishshah Fauzian pada minit keenam dan ke-49, Muhammad Amirul Kharuddin (ke-42) dan Zulhafizi Aiman Zulkafli (ke-53).

Sementara itu, jurulatih SMKDBL-PHJ-MSNJ, Mohd Nor Affandy Abdul Gaffar menganggap pertemuan dengan BJSS Thunderbolts sebagai sukar apatah lagi pihak lawan turun selaku juara liga.

"Kami akan menggunakan tempoh rehat yang ada untuk berehat sepenuhnya dan memastkan pemain benar-benar bersedia," kata Nor Affandy.

SMKDBL-PHJ-MSNJ mara ke separuh akhir selepas menewaskan MBPJ Tigers 1-0 dengan gol tunggal perlawanan dijaringkan Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-56.

Berita Harian X