Isnin, 27 Disember 2021 | 9:17pm
Megat (tengah) bergambar bersama pesilat Malaysia dan Singapura selepas aksi pertarungan persahabatan di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, minggu lalu.
Megat (tengah) bergambar bersama pesilat Malaysia dan Singapura selepas aksi pertarungan persahabatan di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, minggu lalu.

PESAKA tanggung elaun 18 pesilat 'disingkirkan' MSN

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengambil langkah tersendiri bagi mengekalkan 18 pesilat kebangsaan yang tamat kontrak susulan ketiadaan peruntukan khusus untuk meneruskan program latihan sepenuh masa oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Presidennya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, alternatif yang diambil adalah menanggung elaun bulanan kesemua 18 pesilat ini sehingga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui MSN memperoleh peruntukan dana tambahan diperlukan.

"MSN sudah cuba yang terbaik tetapi dalam masa sama, PESAKA perlu mengambil tindakan lain bagi menyelesaikan masalah ini kerana kita tak boleh buang atlet yang sudah banyak berkorban untuk negara hanya kerana tidak ada peruntukan.

"Kita tak boleh hanya kata 'selamat tinggal' saja. Jadi kita melihat bagaimana caranya untuk kita boleh buat persediaan supaya pesilat kita boleh dihantar ke kejuaraan besar.

"Daripada 33 pesilat, 18 diketepikan dan 15 saja yang berada dalam pasukan kebangsaan. Namun PESAKA sudah mencari jalan bagaimana 18 pesilat ini akan dibayar elaun oleh PESAKA sendiri. PESAKA tanggung setiap bulan," kata Megat ketika dihubungi.

Ditanya sekiranya 18 pesilat ini akan menerima elaun seperti mana yang diterima ketika menyertai kem kebangsaan, Megat berkata: "Nilai elaun bergantung kepada elaun yang diterima mereka sebelum ini.

"Kita akan melihat semula (nilai elaun) tetapi saya sudah membuat pengumuman ketika perlawanan percubaan dengan Singapura di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Saya sudah memaklumkan kepada atlet dan meminta pengurusan pasukan untuk memberikan laporan, berapakah elaun yang mereka terima sewaktu berada dalam kem. Mungkin jumlahnya besar... puluhan ribu ringgit juga untuk menanggung 18 pesilat ini.

"Apapun, presiden kena carilah. Saya sudah mengadakan mesyuarat bersama pengurusan pasukan dengan jawatankuasa penyediaan atlet kebangsaan. Jawatankuasa ini besarlah yang menguruskan semua dan dipengerusikan naib presiden PESAKA.

"Saya kata tak gamak kita nak buang mereka ini, tak malukah apabila hendak digunakan kita panggil mereka, apabila tak ada kita buang sedangkan mereka sudah banyak berkorban untuk negara. Jadi PESAKA dan presiden perlu menanggung perkara ini," tambahnya.

Sebelum ini, MSN menetapkan pencapaian di peringkat tertinggi sebagai petunjuk prestasi utama untuk atlet kekal dalam program latihan sepenuh masa bermula tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada ketika itu berkata, syarat ketat berkenaan perlu diambil susulan ketiadaan peruntukan khusus untuk meneruskan Program Podium yang berakhir sebaik tamatnya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Berita Harian X