Khamis, 23 Disember 2021 | 6:46pm
Bekas pemain bolasepak kebangsaan, Jamsari Sabian turut menyumbang jersi kepada program Misi Bantuan Pakaian Sukan Pengamal Media Sukan.
Bekas pemain bolasepak kebangsaan, Jamsari Sabian turut menyumbang jersi kepada program Misi Bantuan Pakaian Sukan Pengamal Media Sukan.

Misi bantuan pakaian sukan dapat sambutan

KUALA LUMPUR: Misi Bantuan Pakaian Sukan Untuk Mangsa Banjir yang dilancarkan semalam mendapat sambutan pelbagai apabila menawarkan diri untuk turut serta dalam program berkenaan termasuk Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata pihaknya turut bersimpati dengan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri di negara ini.

"Ini adalah sebagai sumbangan dan tanda prihatin kami. Bekas atlet negara juga amat terhutang budi kepada mangsa banjir yang sudah tentu mereka juga adalah peminat sukan,'' katanya.

Misi yang dicetuskan oleh kumpulan pengamal media sukan tanah air ini akan mengumpul pakaian sukan terpakai dan baharu daripada orang ramai serta penggiat sukan termasuk bekas atlet, pegawai dan pasukan sukan seluruh negara.

Sementara itu, sekumpulan pemilik kenderaan pacuan empat roda dalam acara antarabangsa Rain Forest Challenge (RFC) juga bersedia menawarkan khidmat bagi kerja-kerja mengagihkan sumbangan kepada mangsa.

Pengarah Operasi Rain Forest Challenge, Luis Wee berkata RFC akan menggerakkan ahli-ahlinya di seluruh negara bagi membantu misi bantuan ini dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda masing-masing.

"Semoga dengan sumbangan ini, mangsa banjir akan kembali dapat meneruskan aktiviti riadah dan bersukan selepas keadaan banjir pulih,'' katanya

Berita Harian X