Isnin, 20 Disember 2021 | 7:42pm
Gambar fail - Pengerusi YAKEB, Noorul Ariffin Abdul Majeed.
Gambar fail - Pengerusi YAKEB, Noorul Ariffin Abdul Majeed.

YAKEB bantu bekas atlet terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) ketika ini dalam usaha mengenal pasti bekas atlet negara yang terkesan akibat banjir yang melanda di beberapa kawasan sejak Jumaat lalu bagi membolehkan mereka menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Khas.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata pihaknya akan menyampaikan bantuan berkenaan dalam minggu ini.

"Selepas banjir reda, kami akan terus melawat ke rumah bekas atlet yang terjejas bagi menyampaikan bantuan. Setakat ini, seramai tujuh bekas atlet sudah dikenal pasti yang memerlukan bantuan.

"Mungkin kali ini kami akan berikan tambahan bantuan wang tunai berbanding kebiasaannya.

"Saya minta kepada bekas atlet yang terkesan akibat musibah banjir dan ingin mendapatkan bantuan bencana alam di bawah Skim Bantuan Khas YAKEB boleh menghubungi pejabat kami di talian 03-20924844, " katanya kepada BH Sukan.

Bekas atlet yang sudah dikenalpasti terkesan akibat banjir ialah bekas atlet silat, Zakri Ibrahim yang menetap di Semenyih; Norhashimah (boling padang di Klang); Halimah Hassan (boling padang para di Kajang), Mohd Rosdi Ngah (angkat berat di Kuantan), P Sidamparam (olahraga di Shah Alam); Rosli Omar(ragbi di Hulu Langat dan Vejayan Subramaniam (tinju di Shah Alam).

Dalam pada itu, Noorul memaklumkan pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada EXCO Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman bagi memperbaiki kediaman bekas atlet yang mengalami kerosakan akibat banjir.

"Kalau ada harta benda mereka seperti televisyen atau barangan elektrik yang lain rosak, kami akan cuba gantikan dengan bantuan daripada YB Khairuddin," katanya.

Berita Harian X