Khamis, 16 Disember 2021 | 7:04pm
Pasukan UiTM Vendetta berjaya membawa pulang RM10,000 selepas mengungguli Kejohanan U-Mobile Mobile Legends Kampus (UMCC) yang berlangsung bulan lalu.
Pasukan UiTM Vendetta berjaya membawa pulang RM10,000 selepas mengungguli Kejohanan U-Mobile Mobile Legends Kampus (UMCC) yang berlangsung bulan lalu.

UiTM Vendetta dapat habuan RM10,000

KUALA LUMPUR: Pasukan e-sukan UiTM Mobile Legend atau lebih dikenali sebagai UiTM Vendetta mengungguli Kejohanan U-Mobile Mobile Legends (UMCC) Kampus yang berlangsung hujung bulan lalu.

Dengan kemenangan itu, pasukan yang dibarisi Muhammad Nabil Japri, Danish Haziq Azrul Yussaini, Akmal Hakim Mohd Hisham, Muhammad Najmi Abdul Latib, Muhammad Badrun Ahmad Puad dan Muhammad Zulhafiz Md Yusuf itu kini bergelar juara kebangsaan.

Kemenangan itu membolehkan UiTM Vendetta membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 dan hadiah diserahkan kepada mereka dalam satu majlis ringkas di Shah Alam, hari ini.

'Mock cheque' disampaikan Eksekutif Program daripada Syarikat U-Mobile, Amir Asraf Mohd Ali Jina kepada pemenang yang turut disaksikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi.

Naib johan menjadi milik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sementara tempat ketiga dan keempat masing-masing menjadi milik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Tuanku Sultan Bahiyah, Kedah.

Sebagai rekod, UMCC adalah kejohanan terbesar Mobile Legends yang menampilkan penyertaan sebanyak 304 pasukan dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Berita Harian X