Ahad, 5 Disember 2021 | 7:58pm
Pasukan Terengganu muncul juara Jelajah Negeri Sembilan.
Pasukan Terengganu muncul juara Jelajah Negeri Sembilan.

Terengganu juara Jelajah Negeri Sembilan

REMBAU: Reputasi Terengganu selaku jaguh lumba basikal di negara ini sukar dinafikan apabila pasukan itu muncul juara keseluruhan Jelajah Negeri Sembilan 2021 yang berakhir, hari ini.

Malah, pelumba pasukan itu mengekalkan Jersi Kuning (juara keseluruhan) menerusi Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim yang turut dinobatkan pemenang Jersi Merah (Raja Bukit) dan rakan sepasukan, Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo meraih Jersi Hijau (Raja Pecut).

"Syukur Alhamdulillah, kami dapat kekalkan momentum pada hari terakhir perlumbaan dan bangga dapat kekalkan jersi.

"Ini pertama kali saya dapatkan kekalkan Jersi Kuning dalam suatu perlumbaan tempatan dan ia suatu permulaan yang baik bagi saya untuk terus maju dan berjaya dalam perlumbaan lain terutama ketika Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur tahun depan," kata Shahmir Aiman, 21.

Dia mencatat masa tiga jam, 26 minit dan 33 saat pada peringkat terakhir perlumbaan yang bermula dan berakhir di Dataran Rembau membabitkan jarak 128.4 km sekali gus mengumpul masa 9:29.57s.

Sementara itu, Mohammad Faisal, 21, berkata kejayaannya merangkul Jersi Hijau semalam sememangnya begitu berbaloi kerana dia mengalami kecederaan di tangan kiri, dua hari sebelum perlumbaan.

"Memang ada rasa sakit sejak peringkat pertama, tapi saya tidak mahu ia mengganggu fokus dan bertindak nekad kerana azam saya untuk mencipta sesuatu perlumbaan ini," katanya.

Menurutnya, latihan intensif sebelum perlumbaan dengan berkayuh selama 25 hari dari Terengganu ke Negeri Sembilan, dengan jarak kira-kira 3,000 kilometer (km) memberi impak positif.

Dalam pada itu, pelumba Majlis Sukan Negara (MSN) masih mencuri tumpuan pada hari terakhir perlumbaan apabila, Zulhemi Zainal, 21, tiba lebih awal di garisan penamat.

Berita Harian X