Sabtu, 4 Disember 2021 | 8:00pm
Ketua jurulatih SSTMI Thunderbolts, Zaidi Zainudin (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Norfaraha Hashim memperagakan piala yang bakal menjadi rebutan dalam sidang media TNHMJHL di Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua jurulatih SSTMI Thunderbolts, Zaidi Zainudin (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Norfaraha Hashim memperagakan piala yang bakal menjadi rebutan dalam sidang media TNHMJHL di Kuala Lumpur, hari ini.

Saingan hoki TNBMJHL 2021 dijangka seimbang

KUALA LUMPUR: Juara berganda Liga Hoki Remaja Kebangsaan TNB (TNBMJHL) 2019, SSTMI Thunderbolts menjangkakan saingan lebih seimbang pada edisi 2021 yang dijadual membuka tirainya di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 11 hingga 30 Disember ini.

Ketua jurulatihnya, Zaidi Zainudin berkata, penilaian itu mengambilkira daripada aspek persiapan pasukan lawan yang ada antaranya sudah menjalani latihan lebih awal daripada mereka.

"Tahun ini saingan dilihat seimbang," kata Zaidi dalam sidang media menjelang TNBMJHL, di sini, hari ini.

"Ada pasukan seperti AHP-SSP-MSP Thunderbolts ataupun MBPJ Tigers yang sudah melakukan persiapan lebih awal. Setiap pasukan berbeza-beza (persiapan), ada pemain yang berada luar sekolah dan ada pemain di dalam sekolah.

"Apabila dalam sekolah, ia tertakluk kepada takwim sekolah manakala di luar sekolah dia boleh berlatih di luar kerana SOP (Prosedur Operasi Standard) itu berbeza.

"Ia mungkin menjadi satu kelebihan kepada mereka kerana boleh melakukan persiapan lebih awal dan secara keseluruhannya, saya lihat peluang adalah seimbang kepada semua pasukan untuk mencabar kejuaraan."

Selain SSTMI Thunderbolts, AHP-SSP-MSP Thunderbolts dan MBPJ Tigers, turut menyertai saingan Divisyen 1 adalah Anderson Thunderbolts, BJSS Thunderbolts, SMKDBL-PHJ-MSNJ dan SSTMI Jr.

Divisyen 2A pula disertai Torpedo Silverstate HC, Francisan HC, Hockeylah HC, Kedah Eagle Jr, MSNS/PHS, PHNS/MSSNS-B16, Sarawakian Jr dan PHNS Seniors.

Bagi Divisyen 2B pula, ia disertai DBKL HT, M Lions HC-Mutiara Impian, MBPJ Black Widow, MSN-Perlis Jr, MSSPP-PSHA, Nurinsafi Sporting, PHK-MSN Kelantan dan PPHT Thunderbolts.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, hanya satu pasukan yang menarik diri bagi edisi kali ini iaitu SSMS Resilient.

"Mengenai pasukan yang bermain, cuma satu saja pasukan menarik diri di saat akhir iaitu SSMS Resilient dari Sabah. Mereka sepatutnya beraksi di Divisyen 1. Sekarang ini, daripada lapan pasukan tinggal tujuh pasukan bagi Divisyen 1 manakala Divisyen 2A dan 2B masih kekal.

"Jadual perlawanan hampir sama, hanya untuk Divisyen 1 kita kurangkan jumlah perlawanan. Untuk venue pula, kita akan bermain di Padang 1 dan Padang 2 (Stadium Hoki Nasional) untuk keseluruhan perlawanan.

"Tiada (format) perlawanan di laman sendiri atau luar disebabkan pandemik, kes baharu (COVID-19) serta varian baharu yang dikesan. Oleh itu, diharapkan dengan SOP diberikan, pengurus pasukan dapat menjaga pemain mereka di sepanjang liga dan kita di KHM akan membantu apa yang diperlukan," kata Anil.

Berita Harian X