Sabtu, 4 Disember 2021 | 5:22pm
Pelumba MSN, Muhammad Afiq Iskandar Hisyam (tengah) memenangi peringkat kedua Jelajah NS 2021 dari Sendayan ke Rembau. Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo (kiri) dan Chiang Jia Cheng masing-masing tempat kedua dan ketiga. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Pelumba MSN, Muhammad Afiq Iskandar Hisyam (tengah) memenangi peringkat kedua Jelajah NS 2021 dari Sendayan ke Rembau. Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo (kiri) dan Chiang Jia Cheng masing-masing tempat kedua dan ketiga. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Afiq Iskandar curi tumpuan peringkat kedua Jelajah NS

REMBAU: Tanpa menetapkan sebarang sasaran di peringkat awal, pelumba Majlis Sukan Negara (MSN), Muhammad Afiq Iskandar Hisyam mencuri tumpuan apabila menawan peringkat kedua individu saingan Jelajah Negeri Sembilan 2021, hari ini.

Muhammad Afiq Iskandar, 20, yang berasal dari Johor mencatat masa tiga jam, 54 minit dan 10 saat bagi mengenepikan Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo (TRG) di tempat kedua (3:54:10s) dan ketiga Chiang Jia Cheng (KUL) dengan masa 3:54:10s.

Ketika ditemui, dia mengakui tidak menyangka mampu menamatkan saingan dengan baik walaupun diberikan tentangan sengit daripada pelumba lain terutama dari Terengganu.

"Memang saya tidak menyangka berjaya melintasi lebih awal di garisan penamat ketika saingan begitu sengit daripada pelumba lain. Saya hanya berharap dapat menguasai zon pendakian di Bukit Miku iaitu pada kedudukan 90 kilometer (km) perlumbaan.

"Alhamdulillah, saya berjaya dan ia membantu untuk menamatkan saingan hari ini dengan baik sekali. Rakan sepasukan turut membantu memberikan semangat dan sokongan dan strategi. Keadaan cuaca yang baik juga membantu," katanya yang bertekad meneruskan aksi terbaik pada peringkat akhir, esok.

Dalam pada itu, pasukan Terengganu masih mengekalkan prestasi terbaik apabila mereka terus mendominasi perlumbaan hari ini.

Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim memenangi Jersi Kuning (individu keseluruhan) manakala rakan sepasukan Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri dinobatkan selaku Raja Bukit (Jersi Merah) dan Raja Pecut (Jersi Hijau).

"Syukur, Alhamdulillah, saya dapat kekalkan prestasi baik pada perlumbaan hari ini walaupun jarak perlumbaan lebih jauh dan lebih mencabar berbanding semalam.

"Zon pendakian di Bukit Miku paling mencabar, namun saya dan rakan sepasukan dapat menguasainya dengan baik. Sasaran kami sememangnya mahu kekal jersi yang dimenangi semalam," kata Muhammad Hakimi Haiqal, 21.

Muhammad Shahmir Aiman, 21, mengakui lega kerana masih dapat mengekalkan Jersi Kuning biarpun saingan hari ini lebih sengit daripada setiap pasukan.

"Perlumbaan hari ini lebih mencabar kerana selain jarak yang lebih jauh iaitu 152.7 km, zon pendakian di Bukit Miku paling sukar sehingga saya hampir mengalami kekejangan otot. Bagaimanapun, Alhamdulillah, saya berjaya melepasi cabaran itu hasil sokongan rakan sepasukan dan rasa bangga kerana dapat kekalkan Jersi Kuning.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Anuar Manan, ternyata gembira dengan persembahan anak buahnya.

"Alhamdulillah, kami dapat kekalkan pencapaian. Kerjasama dalam sepasukan penting untuk kekalkan keputusan.

"Sasaran kita pada perlumbaan esok untuk kekalkan keseluruhan berpasukan dan memenangi kedua-dua jersi selain kategori individu sebagai bonus," katanya yang akui terkejut dengan penonjolan Afiq Iskandar.

Perlumbaan peringkat kedua hari ini bermula di Sendayan dan berakhir di Dataran Rembau.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris selain Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohd dan Naib Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan, Datuk Mohd Nazri Saad.

Keputusan:

Kategori individu keseluruhan

1. Muhammad Afiq Iskandar Hisyam (MSN - 3:54:10s

2. Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo (TRG) - 3:54:10s

3. Chiang Jia Cheng (KUL) - 3:54:10s

Jersi Merah (Raja Bukit)

1. Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri (TRG)

2. Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim (TRG)

3. Muhammad Yusri Shaari (PRK)

Jersi Hijau (Raja Pecut)

1. Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri (TRG)

2. Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo (TRG)

3. Chiang Jia Cheng (KUL)

Jersi Kuning (Keseluruhan)

1. Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim (TRG)

2. Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri (TRG)

3. Chiang Jia Cheng (KUL)

Berita Harian X