Jumaat, 3 Disember 2021 | 6:22pm
Pemenang jersi merah, Shahmir Aiman (tengah). - Foto NSTP/ Mohd Amin Jalil.
Pemenang jersi merah, Shahmir Aiman (tengah). - Foto NSTP/ Mohd Amin Jalil.

Terengganu dominasi hari pertama Jelajah NS 2021

Oleh Mohd Amin Jalil

bhsukan@bh.com.my

SEREMBAN: Pasukan Terengganu membuktikan keunggulan apabila mendominasi peringkat pertama saingan Jelajah Negeri Sembilan 2021 di sini, selepas dua pelumba mereka naik podium.

Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim mengungguli keseluruhan perlumbaan dengan memenangi Jersi Kuning manakala Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri, ditempat kedua manakala ketiga milik pelumba Kuala Lumpur, Chiang Jia Cheng.

Muhammad Shahmir Aiman yang mencatat masa 2 jam, 9 minit dan 14 saat turut dinobatkan selaku Raja Bukit dengan memenangi Jersi Merah, manakala Muhammad Hakimi Haiqal memenangi Jersi Hijau selaku Raja Pecut dengan catatan masa 2:09.41s.

Shahmir Aiman, 21, ketika ditemui berkata, dia puas hati dengan persembahannya hari ini dan masa yang dicatatnya juga memberangsangkan.

"Sememangnya sasaran utama saya adalah untuk mendapatkan jersi kuning hari ini. Ia ternyata membuahkan hasil. Saya juga tidak menyangka mampu menamatkan perlumbaan di garisan penamat seorang diri.

"Namun pasukan saya turut membantu untuk catatan permulaan yang baik terutama ketika laluan pendakian di kawasan Mantin dan Lenggeng," katanya.

Shahmir Aiman mengakui laluan perlumbaan sangat mencabar namun hasil persiapan dan latihan intensif ternyata banyak membantu mendapatkan keputusan berkenaan.

"Kejayaan hari ini membakar lagi semangat saya untuk lakukan yang terbaik pada peringkat kedua esok dan berharap dapat kekalkan momentum ini," kata pelumba berasal dari Kuala Terengganu.

Hakimi Haiqal, 21, mengakui saingan amat mencabar di mana selepas tiga kilometer (km) bermula perlumbaan sudah memasuki zon pendakian.

Menurutnya, bagaimanapun sokongan daripada rakan sepasukan menaikkan lagi semangat untuk bersaing.

"Memang sasaran saya untuk menang dan Alhamdulillah dapat Jersi Hijau, tapi 10 kilometer terakhir amat sengit," katanya.

Jurulatih Terengganu, Anuar Manan mengakui berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan menyifatkan ia adalah impak daripada persiapan rapi sebelum ini.

Beliau tidak menyangka Shahmir Aiman berjaya memisahkan diri daripada kelompok pelumba lain hingga menamatkan pelumbaan seorang diri.

"Aiman adalah pakar pendakian dan dia dapat menguasai perlumbaan peringkat pertama ini dengan keupayaannya menjarakkan diri dari kelompok besar.

"Situasi itu memudahkan dia berada di depan. Apa pun kemenangan hari ini adalah hasil kerjasama sepasukan yang baik," kata bekas jaguh pecut negara itu.

Peringkat pertama membabitkan jarak perlumbaan sejauh 91.0km dengan zon pendakian 4.2km.

Hadiah kepada pemenang masing-masing disampaikan Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Johor, Datuk Amran A Rahman selain Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar CMH, Henderick Koo dan Ketua Pegawai Eksekutif Mawar Medical Centre, Dr Ong Chiew Ping.

Keputusan penuh:

Kategori keseluruhan -

1. Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim (TRG) - 2:09.14s

2. Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri (TRG) - 2:09.41s

3. Chiang Jia Cheng (KUL) - 2:09.48s

Jersi Merah -

1. Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim (TRG)

2. Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri (TRG)

3. Mohammad Hazwan Hamzah Mior ((PRK)

Jersi Hijau -

1. Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri (TRG)

2. Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim (TRG)

3. Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo ((TRG)

Jersi Kuning -

1. Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim (TRG)

2. Muhammad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri (TRG)

3. Chiang Jia Cheng (KUL)

Berita Harian X