Khamis, 2 Disember 2021 | 6:35pm
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin (dua dari kanan) bersama Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf ( kiri) ketika berkunjung ke rumah Yusup di Sarawak.
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin (dua dari kanan) bersama Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf ( kiri) ketika berkunjung ke rumah Yusup di Sarawak.

YAKEB salur bantuan kepada ahli di Sarawak

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) tidak pernah meminggirkan ahlinya yang berada di Sarawak apabila Skuad YAKEB Prihatin turut berkunjung ke negeri itu untuk menjayakan program 'Visit & Treat'.

YAKEB yang diketuai pengerusinya Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Pengurus Besar, Zuhairi Abd Manaf mengunjungi dua bekas atlet para negara dari Bumi Kenyalang iaitu Yusup Dewa (sukan renang) dan Fatimah Wagimin (angkat berat para).

Dalam kunjungan itu, mereka menyampaikan sumbangan kerusi roda khas kepada Yusup yang pernah mengharumkan nama negara dengan membawa pingat termasuk tiga emas pada Kejohanan Sukan Para Vietnam 2003 manakala satu perak dan dua gangsa di Sukan Fespic Kuala Lumpur 2006.

Turut menerima sumbangan sama adalah Fatimah yang pada ketika ini bekerja sambilan sebagai tukang jahit. Fatimah yang mengalami polio sejak kecil pernah menyumbangkan pingat buat kontinjen negara di Sukan Fespic di Busan.

Selain itu, Fatimah yang menetap di Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan turut pernah menyumbangkan emas di Temasya Sukan Para 2003 di Vietnam dengan pencapaian tertingginya mewakili negara di Sukan Paralimpik Athens 2004.

Pada ketika itu, Fatimah meraih tempat keempat dalam acara 75 kilogram (kg) wanita.

"Selain aktiviti Visit & Treat, kami turut merancang untuk mengadakan program siri Jelajah YAKEB Turun Padang," kata YAKEB dalam satu kenyataan.

"Ia sebuah program bakal mengumpulkan bekas atlet negara berasal dari Sarawak yang berdaftar dengan YAKEB. Ia akan menjadi paltform kepada bekas atlet masih belum mendaftarkan diri untuk berbuat demikian."

Sebelum ini, program Visit & Treat banyak dianjurkan di Semenanjung dengan terbaru di Melaka. Dalam kunjungan berkenaan, YAKEB menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada waris Allahyarham Samat Sayed (hoki) dan mendiang Ong Chuan Hock (lawan pedang) selain Samsul Mat Juah (bina badan).

Berita Harian X