Rabu, 1 Disember 2021 | 9:30pm
Pelumba pasukan Sapura Cycling Team (TSC), Muhammad Nur Aiman Rosli.
Pelumba pasukan Sapura Cycling Team (TSC), Muhammad Nur Aiman Rosli.

Nur Aiman bermula baik saingan Jelajah Thailand

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Sapura Cycling Team (TSC), Muhammad Nur Aiman Rosli memulakan kempen keduanya di Jelajah Thailand dengan baik meskipun perlu mengharungi laluan yang sukar.

Kayuhan sejauh 145 kilometer (km) dari Hat Yai Park ke Phattalung itu menyajikan laluan beralun serta beberapa kawasan yang mencabar disebabkan cuaca, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk melakukan yang terbaik.

Aiman menamatkan perlumbaan peringkat pertama itu dengan berada di tempat ke-67 daripada 85 pelumba dan berada di tangga ketujuh dalam carta keseluruhan bagi klasifikasi jersi hijau (raja pecut).

Aiman pada ketika ini mengumpul 10 mata dalam klasifikasi berkenaan dengan kayuhan hari ini menyaksikan dirinya meraih dua mata di zon pecut pertama, tiga mata di zon pecut kedua dan lima mata di zon pecut ketiga.

"Ini kali kedua saya menyertai Jelajah Thailand. Sebelum ini, saya hampa namun sekarang saya cuba melakukan yang terbaik buat pasukan.

"Laluan hari ini agak mencabar disebabkan hujan dan panas. Ada kawasan yang banjir, air bertakung dan berlubang. Namun kita terus berusaha untuk melakukan yang terbaik," kata Aiman yang hampir lapan bulan tidak menyertai sebarang kejohanan itu.

Kalisifikasi jersi hijau pada ketika ini diungguli pelumba Thailand, Thanawut Sanikwathi dengan 18 mata manakala Lucas Carstensen berada di kedudukan kedua dengan 16 mata. Pelumba Terengganu Cycling Team, Irwandie Lakasek di tempat ketiga dengan 14 mata.

Pada perlumbaan itu, pelumba Bike Aid dari Jerman, Lucas Carstensen muncul pemenang peringkat pertama dengan catatan 3 jam 04:08 saat (s) manakala Lakasek berada di tempat kedua.

Melengkapkan pentas podium adalah pelumba Thailand Continental Cycling Team (TCC), Sanikwathi.

Peringkat kedua yang dijadual berlangsung esok, akan bermula dari Phatthalung ke Talay Noi sebelum kembali ke Phatthalung membabitkan laluan sejauh 228 km yang dilihat menyajikan peluang seimbang buat semua pelumba.

Berita Harian X