Selasa, 23 November 2021 | 4:28pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima dari kiri) memberi semangat kepada pasukan Todak dan Team SMG yang menyertai Kejuaraan Dunia Mobile Legend M3 di KLIA pagi tadi, sebelum mereka berlepas ke Singapura - Foto ihsan Facebook Faizal Azumu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima dari kiri) memberi semangat kepada pasukan Todak dan Team SMG yang menyertai Kejuaraan Dunia Mobile Legend M3 di KLIA pagi tadi, sebelum mereka berlepas ke Singapura - Foto ihsan Facebook Faizal Azumu.

KBS sedia bincang lanjut dengan MOM

SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mengadakan perbincangan lanjut bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung cadangan menubuhkan sebuah organisasi bagi menyelia program sukan berprestasi tinggi terutamanya untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika mengesahkan perkara itu berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan setiap cadangan daripada pelbagai pihak termasuk MOM, persatuan sukan dan orang ramai.

"Saya memang ada dengar mengenai cadangan itu, namun setakat ini belum ada sebarang perbincangan lagi. Semua pihak boleh bagi cadangan dan selepas itu kita akan perhalusi serta pertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan," ketika selepas hadir menyaksikan peserta bagi Kejuaraan Dunia Mobile Legend M3 berlepas ke Singapura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Pada 2 November lalu, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mencadangkan sebuah organisasi terdiri daripada wakil badan induk itu dan agensi kerajaan ditubuhkan bagi menyelia program sukan berprestasi tinggi terutamanya bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Organisasi berkenaan, katanya, perlu menjadi wadah terhadap perancangan jangka sederhana dan panjang tanpa diganggu gugat oleh perubahan struktur kerajaan atau politik.

Katanya, seperti yang pernah disuarakan bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika 'post mortem' sebaik tamat Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos lalu, arena sukan negara tidak boleh terus melakukan perkara sama tetapi mengharapkan keputusan berbeza.

Berita Harian X