Isnin, 14 Disember 2020 | 11:52am

Joshua, Fury sedia bertarung untuk RM2.69 bilion

LONDON: Anthony Joshua dan Tyson Fury kini berada di landasan tepat untuk bersetuju menyertai dua pertarungan besar bernilai £500 juta (RM2.69 bilion).

Selepas Joshua menewaskan Kubrat Pulev, promoter Eddie Hearn mengesahkan tempat dan perjanjian TV akan dilaksanakan selepas ini bagi saingan 'Battle of Britain'.

Promoter Fury, Bob Arum berkata dia akan membincangkan perancangan dengan Hearn — bermula dengan pertarungan bernilai £200 juta (RM1.079 bilion) di Timur Tengah.

Potensi pertarungan semula mungkin akan dilangsungkan di UK, di depan 90,000 penonton dekat Wembley.

Juara WBA, IBF dan WBO, Joshua enggan menghubungi Gypsy King secara terus berkaitan perancangan pertarungan pada 2021 selepas menyekat Pulev pada pusingan kesembilan di Wembley Arena.

Juara WBC, Fury kemudian berkata, lawannya itu "s*** dirinya sendiri ketika siaran langsung di TV".

Joshua membalas semalam dengan berkata: "Ia bagus untuk didengar. Sekurang-kurangnya saya boleh bertemunya di gelanggang.

"Itu yang kita mahukan, betul tak?"

Hearn menegaskan Joshua sudah letih melayan drama.

Hearn berkata: "Kami akan bersedia untuk pertarungan itu dan apa yang kami perlu buat ialah melakukannya.

"Perkara terakhir yang kami perlu selesaikan ialah di mana ia akan dilangsungkan dan beberapa isu membabitkan TV. Itu sahaja. Semua orang sudah bersedia dalam aspek kewangan." - Agensi

Berita Harian X