Rabu, 28 Oktober 2020 | 9:56pm
Ketua jurulatih Khabib percaya jaguh tempur itu akan buat keluar daripada persaraan. - FOTO FB KHABIB
Ketua jurulatih Khabib percaya jaguh tempur itu akan buat keluar daripada persaraan. - FOTO FB KHABIB

Khabib akan kembali bertarung

LONDON: Ketua jurulatih Khabib Nurmagomedov, Javier Mendez mendedahkan persaraan jaguh tempur itu adalah 'keputusan emosional' sambil menyifatkan 'hanya masa akan menentukan' kepulangannya untuk kembali bertarung.

Juara lightweight itu merakam rekod 29-0 pada UFC 254 selepas menumbangkan Justin Gaethje di pusingan kedua, Ahad lalu.

Namun selepas tamat pertarungan itu, Nurmagomedov yang bertarung buat kali pertama sejak kehilangan bapanya mengumumkan yang dia akan bersara.

Tindakan itu jelas mengejutkan Mendez yang mengakui dia sama sekali tidak mengetahui keputusan yang dibuat jaguh berusia 32 tahun itu.

Namun Mendez tahu Nurmagomedov tenggelam dalam emosinya selepas kemenangan itu sekali gus enggan memikirkan mengenai kariernya.

"Melihat kepada emosinya, dia menangis dan fikirannya tidak tentu arah. Saya tidak tahu (persaraan) kerana dia pun tidak bercakap mengenainya. Tetapi saya faham beban bapanya mungkin terlalu berat untuknya.

"Anda lihat bagaimana dia menitiskan air mata, saya katakan kepadanya 'saya sayang awak, menangislah sepuasnya. Khabib begitu beremosi dan mengapa dia mengambil tindakan sebegitu, saya tidak tahu.

"Saya tahu apa yang dia katakan tetapi dia begitu emosi jadi hanya masa yang akan menentukan (dia benar benar bersara).

"Tetapi saya tidak akan bercakap mengenainya. Itu bukan kerja saya. Kerja saya adalah untuk menyayanginya dan melatihnya apabila dia mahu bertarung," katanya. -Agensi

Berita Harian X