Sabtu, 17 Oktober 2020 | 10:47pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (baju merah) melawat padang bola Radia Arena di Shah Alam pada Jumaat. - Foto ihsan FB Reezal Merican Naina Merican.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (baju merah) melawat padang bola Radia Arena di Shah Alam pada Jumaat. - Foto ihsan FB Reezal Merican Naina Merican.

Garis panduan SOP fasiliti sukan kawasan PKPB

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP), membabitkan fasiliti sukan komersial dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dibenarkan beroperasi semula bermula Isnin ini.

KBS dalam kenyataan media menyatakan, fasiliti berkenaan perlu mematuhi arahan termasuk tiada sentuhan badan dengan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik, manakala tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

Menurut kenyataan itu, aktiviti di padang bola sepak dan gelanggang futsal hanya untuk tujuan latihan sahaja dan terhad kepada maksimum 10 peserta pada satu-satu masa, dan setiap pengusaha perlu menjadualkan pelaksanaan latihan sekiranya terdapat ramai peserta, dengan mengehadkan jumlah tidak melebihi jumlah maksimum itu.

KBS memaklumkan bahawa pelaksanaan operasi di gimnasium dan dewan badminton pula, perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan sebelum ini khususnya mengenai larangan perkongsian peralatan, sanitasi peralatan yang kerap dan penjadualan slot untuk memastikan kawalan bilangan pengguna pada satu-satu masa.

Sementara permainan dan kejohanan yang membabitkan sentuhan badan masih dilarang buat masa ini.

"Bagi memastikan pematuhan terhadap SOP ini tidak diambil mudah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri akan sentiasa melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara hari ini memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal, termasuk dewan badminton komersial, dibenar beroperasi semula mulai 19 Oktober.

- BERNAMA

Berita Harian X