Selasa, 6 Oktober 2020 | 8:52am
 Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal (dua, kanan) menyerahkan dokumen pelantikan kepada Paul Revington (dua, kiri) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Faraha Hashim dan Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr S Shamala di Bukit Jalil semalam. - Foto BERNAMA
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal (dua, kanan) menyerahkan dokumen pelantikan kepada Paul Revington (dua, kiri) sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Faraha Hashim dan Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr S Shamala di Bukit Jalil semalam. - Foto BERNAMA

Revington dilantik pengarah teknikal pembangunan KHM

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Paul Revington dilantik sebagai Pengarah Teknikal (Pembangunan) Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu bukan sahaja bertanggungjawab menyelia pembangunan di peringkat akar umbi di negara ini malah turut memainkan peranan sebagai Pengarah Skuad Projek Khas 2026.

Revington, yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua jurulatih program pembangunan skuad elit wanita Britain, menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama KHM sehingga 2023 dan akan memulakan tugasnya dengan segera.

"Awal hari ini (semalam) kami mengadakan pertemuan dengan semua jurulatih, bercakap tentang hala tuju masa depan. Jadi mereka jelas mengenai apa yang kami harapkan daripada mereka.

"Saya harap pada tahun-tahun akan datang, kami akan dapat mencari lebih ramai pemain muda dan berbakat untuk kesinambungan dalam program kebangsaan," kata Subahan pada sidang media di ibu pejabat KHM di sini, semalam.

Sementara itu, Revington menafikan beliau meninggalkan skuad kebangsaan pada 2014 kerana perselisihan faham dengan jurulatih tempatan lain, mengatakan keputusannya ketika itu berkaitan dengan tumor otak yang dihidapinya.

"Keputusan untuk kembali kerana percaya ia satu peluang baik buat saya," katanya.

Tugas utama Revington yang pertama adalah untuk membantu skuad hoki junior lelaki negara layak ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di India menerusi Kejohanan Hoki Remaja Asia 2021 di Dhaka, Bangladesh, yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 30 Januari.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bagaimanapun, masih belum mengumumkan venue dan tarikh kejohanan Piala Dunia di India.

Pencapaian terbaik Revington selama tiga tahun sebagai ketua jurulatih adalah berjaya membimbing Malaysia ke kelayakan Hoki Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda selepas 12 tahun penantian.

Pada sidang media itu, Subahan turut mengumumkan pelantikan bekas ketua pasukan kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani sebagai Pengurus Skuad Projek Khas Wanita manakala bekas pemain kebangsaan I Vikneswaran sebagai Pengurus Skuad Projek Khas Lelaki.

-- BERNAMA

Berita Harian X