Selasa, 4 Ogos 2020 | 6:04pm
Gambar fail, Arul Selvaraj. - Foto Owee Ah Chun
Gambar fail, Arul Selvaraj. - Foto Owee Ah Chun

Arul ganti Olthmans

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), hari ini mengumumkan pelantikan Arul Selvaraj sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara yang baharu bagi menggantikan Roelant Olthmans.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata kontrak Roelant bersama badan induk itu ditamatkan menerusi persetujuan kedua-dua pihak.

"Kami menghargai jasa Roelant sepanjang dua tahun berkhidmat.

"Pihak KHM juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih di atas khidmat yang diberikan kepada skuad kebangsaan dan kami juga mengucapkan semoga berjaya kepada Roelant dalam apa jua yang dia lakukan selepas ini.

"Arul akan memulakan tugasnya pada 15 Ogos ini selepas menamatkan tempoh kuarantin wajib sebaik tiba di Malaysia dari Dublin, Ireland.

"Arul diberikan kontrak dua tahun dan dia akan mempersiapkan pasukan untuk kejohanan yang akan datang. Arul juga akan diberikan peluang memilih pemain yang dirasakan perlu untuk berada di dalam pasukan kebangsaan.

"Dengan penganjuran Piala Tun Abdul Razak pada tahun ini yang mana kami membenarkan semua pemain kebangsaan mewakili negeri masing-masing, kejohanan itu juga akan digunakan Arul serta barisan kejurulatihannya untuk memilih pemain yang dirasakan patut berada dalam skuad kebangsaan," kata Subahan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan, hari ini.

Subahan berkata, sementara menanti kehadiran Arul, tanggungjawab meneruskan sesi latihan pasukan akan digalas oleh penolong jurulatih, Muhammad Amin Rahim bersama Nasihin Nubli Ibrahim.

Berita Harian X