Selasa, 21 Julai 2020 | 9:42pm
Sabiamad (kiri) bersama Zuhairi menyampaikan sumbangan kepada Halimah.
Sabiamad (kiri) bersama Zuhairi menyampaikan sumbangan kepada Halimah.

Nafi tolak permohonan legenda jalan kaki

KAJANG: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menafikan menolak permohonan bantuan daripada bekas atlet jalan kaki, V Subramaniam.

Terdapat laporan Subramaniam yang juga pemenang lapan pingat emas pada Sukan SEA dari 1977 hingga 1989 membuat permohonan itu, empat bulan lalu untuk rawatan kakinya, tetapi ditolak YAKEB.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed bagaimanapun menjelaskan pihaknya tidak menerima apa-apa surat mengenai MRI atau surat rujukan dari hospital seperti didakwa.

"Namun, oleh kerana perkara ini sudah diketahui pihak kami dan bagi mengelak berlaku sebarang kesulitan, kami serta merta mengaturkan (jadual) pemeriksaan kesihatannya di Hospital Selayang, esok.

"Kami berharap masalah sama tidak timbul pada masa akan datang kerana ia dapat dielakkan sekiranya ahli mengikuti SOP sewajarnya.

"Dia (Subramaniam) juga seorang penerima RM500 di bawah inisiatif YAKEB COVID-19 untuk membantu bekas atlet," katanya.

Turut hadir pada pertemuan itu pegawai Kementerian Belia dan Sukan, Theeageesh Ganesan.

Sementara itu, skuad Prihatin YAKEB menyampaikan Skim Bantuan Khas Bencana Alam berjumlah RM500 kepada bekas atlet boling padang para negara, Halimah Hassan.

Halimah tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dengan kehadiran bekas jaguh menembak negara, Datuk Sabiamad Abdul Ahad dan Pengurus Besar YAKEB, Zuhairi Abd Manaf menziarahi rumahnya yang terjejas teruk selepas ditenggelami banjir kilat, Sabtu lalu.

Halimah pernah mewakili negara selama 9 tahun dari 2006 hingga 2014 dengan pencapaian terbaiknya adalah memenangi pingat emas di Kejohanan Fespic Para ASEAN 2006 dan pingat gangsa di Para ASEAN 2014.

Berita Harian X