Jumaat, 10 Julai 2020 | 4:19pm
KHM dijangka umum pengganti Dhaarma (kanan) esok.
KHM dijangka umum pengganti Dhaarma (kanan) esok.

Pengganti Dhaarma diketahui esok

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai siapa bakal menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad hoki wanita negara yang baharu kemungkinan besar bakal terjawab, esok.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, badan induk itu akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan, esok bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Kita akan bincang perkara ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan esok dan kita akan maklumkan mengenai proses yang kita sudah lakukan dan keputusan terkini yang akan dibuat.

"Bukan saja pelantikan jurulatih skuad wanita tetapi kita juga akan bincang secara menyeluruh termasuklah membabitkan kursus kejurulatihan," kata Subahan ketika sidang media, hari ini.

KHM sebelum ini mengiklankan jawatan ketua jurulatih skuad hoki wanita sebelum permohonan ditutup, Februari lalu.

Difahamkan, badan induk itu menerima 20 permohonan bagi mengisi jawatan berkenaan termasuklah jurulatih dari luar negara.

Pengendali sebelum ini, Dhaarma Raj Abdullah membuat keputusan untuk tidak memohon semula tugas itu.

Terdahulu, Subahan mengumumkan jenama sukan terkemuka, Puma sebagai penaja rasmi jersi skuad kebangsaan dengan kontrak tiga tahun menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama wakil jenama itu, Active Sports Centre.

"Penajaan ini bernilai RM1.5 juta untuk tempoh tiga tahun yang mana RM500,000 setahun.

"Jika semua berjalan lancar, kami akan melancarkan jersi baharu skuad kebangsaan dengan jenama yang baharu pada hujung Oktober depan," kata Subahan.

Berita Harian X