Sabtu, 13 Jun 2020 | 6:46pm
KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM).
KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM).

KHM lunas wang hadiah dalam tempoh 2 minggu

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan melangsaikan wang hadiah kemenangan kepada pemenang saingan Liga Hoki Malaysia TNB (TNBMHL) dalam tempoh dua minggu selepas tertangguh susulan pandemik COVID-19.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat ahli lembaga eksekutif KHM yang dipengerusikannya, di sini, hari ini.

"Ahli Lembaga Eksekutif sudah meluluskannya dan menjelang hujung bulan ini semuanya akan dijelaskan kepada semua pemenang," katanya ketika sidang media selepas mesyuarat itu di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemilik kelab Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin meluahkan kekecewaan selepas skuad wanita kelab itu yang menjuarai saingan Liga Hoki Wanita pada Februari lalu masih belum menerima hadiah kemenangan sebanyak RM50,000 serta tambahan RM15,000 selepas muncul naib juara Piala Vivian May Soars.

Dalam pada itu, Subahan turut memaklumkan skuad hoki kebangsaan hanya akan kembali menjalani latihan bermula 1 Julai ini biarpun kerajaan memberi kelonggaran untuk pemain kembali berlatih pada Isnin ini.

"Jawatankuasa Skuad Kebangsaan akan mengadakan mesyuarat bersama PSM (Perbadanan Stadium Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan Jawatankuasa Perubatan KHM bagi membincangkan mengenai SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi sebelum pemain kembali berlatih," katanya.

Beliau turut memaklumkan, sehingga kini hanya satu kejohanan antarabangsa iaitu Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November ini akan diteruskan mengikut jadual asal manakala saingan Piala Dunia Remaja bagi lelaki dan wanita ditunda.

"Namun, untuk kejohanan tempatan saya akan cuba pastikan Liga Hoki Remaja, Piala Razak bagi kategori bawah 14 dan 16 diteruskan tahun ini. Kami akan berhubung dengan KPM (Kementerian Pendidikan) mengenai perkara ini kerana membabitkan pelajar sekolah.

"KHM akan mematuhi setiap SOP yang ditetapkan," katanya.

Berita Harian X