Isnin, 8 Jun 2020 | 9:30pm
RATU terjun negara, Pendelela Rinong.
RATU terjun negara, Pendelela Rinong.

Pendelela teruja kembali berlatih

KUALA LUMPUR: "Saya rasa macam balik kepada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)."

Itu reaksi ratu terjun negara, Pendelela Rinong apabila secara berseloroh menganggap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) lebih ketat berbanding PKP.

Sepanjang tempoh sebulan latihan diadakan, semua yang terbabit tidak dibenarkan keluar atau bertemu dengan orang luar, selari dengan pendekatan kuarantin yang digunakan.

"Masa PKP masih boleh keluar lagi, tetapi latihan pusat ini langsung tidak boleh keluar.

"Namun, saya tidak kisah kerana jika tidak buat macam ini, memang kami tidak boleh kembali berlatih," kata pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama pasangannya, Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform seirama.

Pada penampilan pertamanya di Olimpik London, penerjun berasal dari Bau, Sarawak itu menjadi atlet wanita pertama negara memenangi pingat di temasya Olimpik apabila meraih gangsa dalam acara 10 meter platform.

Pandelela, berkata selepas hampir tiga bulan berkurung di rumah, dia teruja untuk kembali terjun ke kolam.

"Saya rasa lega dan gembira kerana akhirnya dapat balik kepada suasana seperti sebelum ini (rutin harian sebagai atlet). Memang tidak sabar untuk memulakan latihan.

"Kami sudah mendapat jadual latihan kami dan harapnya semua berjalan dengan lancar," katanya.

Seramai 142 individu termasuk atlet, jurulatih dan pegawai sokongan melaporkan diri bagi kem latihan pusat di Kompleks Sukan Bukit Jalil, hari ini, lewat seminggu berbanding kem di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara dan Pusat Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi yang sudah mula berlatih sejak 1 Jun lalu.

Ini kerana, Casa 1 yang akan digunakan sebagai penginapan rasmi perlu menjalani proses nyahkuman selepas digunakan sebagai salah satu pusat kuarantin COVID-19 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tamat pada 27 Mei.

Antara sukan yang terbabit dengan kem latihan pusat RTT di Kompleks Sukan Bukit Jalil adalah akuatik (terjun dan renang), gimnastik artistik, memanah dan karate.

Bagi atlet paralimpik pula, sukan-sukan yang disenaraikan adalah akuatik -renang, memanah, berbasikal, olahraga (Para), badminton (para), boccia, powerlifting, ping pong (para) dan tenis berkerusi roda.

Berita Harian X