Rabu, 3 Jun 2020 | 6:28pm
Pertarungan Mayweather, Pacquiao jana RM3.64 bilion.
Pertarungan Mayweather, Pacquiao jana RM3.64 bilion.

Pertarungan tinju termahal dunia

LONDON: Floyd Mayweather sememangnya terkenal dengan kekayaannya dan sehingga kini namanya berada di puncak pertarungan tinju termahal sepanjang zaman. Pertarungan paling mahal adalah ketika dia memasuki gelanggang bertemu Manny Pacquiao lima tahun lalu sehinggakan perlawanan itu digelar 'Fight of the Centuty' oleh peminat.

Walaupun pertarungan itu tidak 'memenuhi cita rasa' namun ia masih menjana keuntungan besar.

Jumlah bersih pertarungan itu mencecah 678 juta pound (RM3.64 bilion) sekali gus menjadi rekod tertinggi dalam sejarah perlawanan.

Berada di kedudukan kedua adalah pertemuan dengan Conor McGregor pada Ogos 2017 dan pertarungan berkenaan dikenali sebagai 'The Money Fight'.

Mayweather memenangi perlawanan pada pusingan ke-10 - menyamai rekod ketika pertemuannya dengan PacMan.

Pertemuannya dengan Canelo pada pada 2013 juga tidak kurang hebatnya dengan mengumpul 214 juta pound (RM1.14 bilion) dan berada di tangga ketiga carta manakala aksi bertemu De La Hoya (2007) berada di tangga keempat, 187 juta pound (RM1 bilion).

Selain itu, antara pertembungan terhangat dan termahal dunia adalah antara Evander Holyfield dan Mike Tyson II pada 1997.

Pertemuan itu adalah selepas setahun Holyfield menyekat gelaran heavyweight dimenangi Tyson sekali gus mencetuskan satu pertarungan yang pastinya ditunggu-tunggu.

Malah, pertarungan itu terus menjadi perbualan hangat apabila Tyson menggigit Holyfield sebelum dibatalkan pada pusingan ketiga. - Agensi

Info

Pertarungan tinju termahal dunia

1. Mayweather mln Pacquiao, 2015 - 678 juta pound (RM3.64 bilion)

2. Mayweather mln McGregor, 2017 - 662 juta pound (RM3.55 bilion)

3. Mayweather mln Canelo, 2013 - 214 juta pound (RM1.14 bilion)

4. Mayweather mln De La Hoya, 2007 - 187 juta pound (RM1 bilion)

5. Evander Holyfield mln Mike Tyson II, 1997 - 145 juta pound (RM778 juta)

6. Lennox Lewis mln Mike Tyson, 2002 - 132 juta pound (RM709 juta)

Berita Harian X