Selasa, 2 Jun 2020 | 9:58pm
Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy. - Arkib NSTP
Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy. - Arkib NSTP

Khairulnizam teruja kembali berlatih selepas 3 bulan `terkurung'

KUALA LUMPUR: Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy teruja untuk kembali turun ke laut selepas hampir tiga bulan terpaksa 'berkurung' di rumah susulan pandemik COVID-19.

Dia yang melaporkan diri bagi kem latihan pusat Road to Tokyo (RTT) di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi, semalam kini hanya menunggu keputusan ujian calitan yang dilakukan ketika pendaftaran, semalam sebelum boleh kembali berlatih.

Keputusan ujian calitan bagi kem latihan pusat di Langkawi dijangka diketahui, esok.

"Apabila keputusan ujian calitan diketahui, maka bermulalah persiapan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Banyak yang sudah ketinggalan sebenarnya selepas hampir tiga bulan tidak turun berlatih namun kami akan buat perancangan bagaimana untuk kembali memulakan latihan. Minggu pertama ini kami lihat apa yang sudah hilang, mungkin dari aspek taktikal atau teknikal.

'Daripada situ, kami akan membuat perancangan latihan secara berperingkat. Diharapkan, cuaca juga berada dalam keadaan baik sepanjang tempoh sebulan latihan pusat ini," Khairulnizam yang sudah layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Pemenang pingat perak Sukan Asia dua kali itu menamatkan saingan di tempat ke-47 dalam kelas laser lelaki pada penampilan pertama di pentas Olimpik di London pada 2012 dan memperbaiki kedudukan itu dengan mengakhiri saingan di tempat ke-35 pada Olimpik Rio 2016.

Atlet berusia 27 tahun itu meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok 20 terbaik di Tokyo.

"Buat masa sekarang sasaran untuk berada dalam kelompok 20 terbaik adalah yang paling realistik. Namun, ia bergantung kepada persiapan dari semasa ke semasa dan sekiranya semua berjalan dengan baik, mungkin sasaran itu lebih rendah (dalam kelompok yang lebih baik)," katanya.

Selain Khairulnizam, dua lagi atlet pelayaran negara iaitu Juni Karimah Noor Jamali dan Nuraisyah Jamil turut sudah melayakkan diri ke Tokyo dalam kelas 470 manakala Nur Shazrin Mohd Latif dalam kelas laser radial.

Berita Harian X