Rabu, 27 Mei 2020 | 7:35pm
Atlet terjun yang tersenarai dalam program RTT hanya mula berlatih pada 8 Jun.
Atlet terjun yang tersenarai dalam program RTT hanya mula berlatih pada 8 Jun.

Kem latihan RTT di Bukit Jalil ditangguh seminggu

KUALA LUMPUR: Kem latihan pusat membabitkan atlet program Road to Tokyo (RTT) di Kompleks Sukan Bukit Jalil yang pada awalnya dijadual melapor diri Isnin ini terpaksa ditangguhkan selama seminggu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, berkata atlet yang terbabit hanya akan melaporkan diri pada 8 Jun.

"Ini adalah disebabkan Casa 1 yang akan digunakan sebagai penginapan rasmi perlu menjalani proses nyahkuman selepas digunakan sebagai salah satu Pusat Kuarantin COVID – 19 oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tamat pada 27 Mei (hari ini)," katanya.

Antara sukan yang terbabit dengan penangguhan berkenaan adalah akuatik (terjun dan renang), gimnastik artistik, memanah dan karate.

Bagi atlet paralimpik pula, sukan yang disenaraikan adalah akuatik-renang, memanah, berbasikal, olahraga (Para), badminton (para), boccia, powerlifting, ping pong (para) dan tenis berkerusi roda.

Seramai 146 orang akan dipusatkan di kem latihan pusat ini termasuk anggota sokongan dari pelbagai bidang.

Bagaimanapun, Shapawi dalam kenyataan sama, berkata bagi pusat latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar Langkawi, atlet tetap akan melapor diri pada Isnin ini.

Katanya, semua yang terbabit dengan kem latihan pusat akan menjalani beberapa proses saringan sebaik melapor diri.

"Menjalani ujian swab pada hari pertama pendaftaran. Menjalani self kuarantin di bilik penginapan dari hari pertama sehingga keputusan ujian diperoleh pada hari kedua atau ketiga selepas ujian.

Menjalani ujian swab pada hari kelima (Pre Symptom) dan ujian swab hari ke 13 (Non Symptom)," katanya.

Kerajaan pada 19 Mei lalu memberi kelonggaran buat atlet di bawah program RTT untuk kembali menjalani latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.

Berita Harian X