Khamis, 21 Mei 2020 | 9:13pm
Juni Karimah bergandingan dengan Nuraisyah dalam kategori International 470 di Sukan Olimpik Tokyo.
Juni Karimah bergandingan dengan Nuraisyah dalam kategori International 470 di Sukan Olimpik Tokyo.

Juni Karimah tidak sabar kembali berlatih

SEREMBAN: "Saya sudah terlalu rindu dengan bot dan tidak sabar untuk turun berlatih kerana sudah hampir tiga bulan tidak dapat berlatih sepenuhnya," kata pelayar muda, Juni Karimah Noor Jamali.

Juni Karimah, 18, adalah antara atlet perahu layar negara yang sudah menempah tiket ke temasya Sukan Olimpik Tokyo pada tahun depan dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Atlet muda ini mengakui tahap kecergasannya ketika ini tidak begitu memberangsangkan kerana perahu layar memerlukan latihan intensif yang keras dan mantap.

Katanya, dia bersama pelayar lain yang turut tersenarai dalam program Road to Tokyo (RTT) akan mula melapor diri di Kompleks Perayu Layar Langkawi pada 1 Jun ini.

"Kami akan menjalani ujian saringan kesihatan dan dikuarantin selama tiga hari sebelum boleh memulakan latihan penuh di laut. Saya amat nantikan latihan penuh ini supaya dapat mengembalikan semula tahap kecergasan serta penguasaan bot.

"Latihan kecergasan sendirian di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bersyarat (PKPB) tidak banyak membantu. Saya berharap ia akan berjalan lancar dan kami akan berkampung di kelab itu nanti selama 30 hari tanpa boleh keluar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Juni Karimah berkata, dia akan bergandingan dengan Nuraisyah Jamil, 23, dalam kategori International 470 pada temasya berprestij dunia itu nanti.

Nuraisyah dan Juni Karimah menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu selepas menduduki tempat kelima keseluruhan dalam perlumbaan kategori International 470 pada Kejohanan Perahu Layar 470 Antarabangsa Asia 2019.

Berita Harian X