Khamis, 21 Mei 2020 | 5:13pm
Program latihan jangka panjang menuju Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun, dilaksanakan bagi mempersiapkan skuad ragbi tujuh sepasukan. - Arkib NSTP
Program latihan jangka panjang menuju Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun, dilaksanakan bagi mempersiapkan skuad ragbi tujuh sepasukan. - Arkib NSTP

KRM, MSN rangka program jangka panjang Sukan Asia 2026

KUALA LUMPUR: Program latihan jangka panjang menuju Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun, dilaksanakan bagi mempersiapkan skuad ragbi tujuh sepasukan (7's) kebangsaan untuk mencabar Korea Selatan dan Sri Lanka selaku antara empat pasukan terbaik Asia.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya optimis jurang prestasi antara Malaysia dan kedua-dua negara itu mampu dikurangkan dalam tempoh enam tahun berdasarkan kepada statistik pencapaian di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Katanya, KRM menyasarkan pingat sulung di temasya Sukan Asia 2026 dan mengakui peluang melakar sejarah dalam sukan ragbi tanah air lebih cerah jika skuad kebangsaan dapat menyaingi standard kedua-dua negara terbabit.

"Kalau ikut kedudukan di Sukan Asia 2018, kita berada di tempat kelima terbaik dengan Hong Kong dan Jepun dua pasukan terbaik. Untuk kedudukan ketiga itu, saya rasa kita boleh bersaing dengan Korea Selatan dan Sri Lanka tetapi kena ada satu program latihan khusus dan menyeluruh.

"Kita memang telah capai satu pencapaian membanggakan di Jakarta (Sukan Asia 2018) tetapi kita rasa mampu tewaskan Korea Selatan dan Sri Lanka. Untuk cabar kedudukan Jepun dan Hong Kong mungkin belum lagi, tetapi kedudukan ketiga terbaik itu saya rasa boleh," katanya kepada Bernama.

KRM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini mencapai persetujuan untuk melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi 7's lelaki dan wanita, dengan lebih tumpuan diberikan kepada barisan pemain ragbi berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun.

Ia antara lain bertujuan mewujudkan satu mekanisme latihan bersepadu untuk membantu memastikan kejayaan kedua-dua skuad 7's negara meraih kilauan pingat yang dinanti-nantikan.

Shahrul Zaman berkata program latihan jangka panjang itu mungkin dilanjutkan untuk tempoh lama bagi membantu skuad ragbi kebangsaan melakar pencapaian lebih gemilang di persada dunia.

"Keberkesanan program latihan bersama MSN seperti ini kita telah nampak dalam dua penyertaan di Sukan SEA terdahulu tetapi tempohnya tidak lama. Jadi sebab itu kita cuba untuk tempoh enam tahun sehingga ke Sukan Asia 2026.

"Ia akan berterusan sebab kita ingin cuba layak ke Siri Ragbi Dunia dan Sukan Olimpik. Jadi ia satu proses jangka panjang dan bukannya selepas tamat Sukan Asia 2026, program ini pun tamat," katanya.

Skuad ragbi kebangsaan belum pernah meraih sebarang pingat di Sukan Asia sejak dipertandingkan pada edisi 1998 di Bangkok.

-- BERNAMA

Berita Harian X