Khamis, 21 Mei 2020 | 4:05pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman. - Foto NSTP
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman. - Foto NSTP

Atlet SUKMA Selangor tunggu kelulusan MKN kembali berlatih

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuat latihan persediaan ke Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 yang dijadualkan pada Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, buat masa ini, semua atlet terbabit hanya membuat latihan persediaan secara persendirian.

"Kita sedang menunggu kelulusan MKN untuk mulakan latihan ke SUKMA di Johor pada Mac tahun depan, tetapi elaun setiap atlet terbabit tetap diteruskan. Dari segi latihan pula, kebanyakan mereka buat latihan sendiri terutamanya dari segi kecergasan," katanya pada Program Ziarah Kasih Aidilfitri & Sumbangan Raya Kepada Bekas-Bekas Atlet dan Atlet Para di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Kontinjen Selangor dijangka menghantar lebih 800 peserta yang membabitkan 30 acara dalam temasya itu.

Mengenai program itu, Mohd Khairuddin berkata, pendekatan ziarah dan sumbangan wang tunai serta kuih raya menunjukkan tanda keprihatinan kerajaan Selangor dalam menghargai jasa kira-kira 200 bekas atlet dan atlet para negara yang pernah mengharumkan nama megeri itu dan Malaysia. .

"Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan mengambil inisiatif membantu meringankan beban bekas atlet negara dan atlet para yang kurang bernasib baik dan berdepan kesukaran mengharungi cabaran kekangan akibat pandemik COVID-19.

"Program ini bertujuan agar mereka dapat merasai bantuan dan sebagai simbolik kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan mereka walaupun sebahagian mereka bekas atlet.

"Pada hari ini, selain penyerahan sumbangan di sini, kita turut menyampaikan sumbangan di Ibu Pejabat Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields, Kuala Lumpur," katanya.

Antara Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON), Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MsDeaf) dan Ahli-Ahli Persatuan Orang Buta Selangor (PESROB).

Berita Harian X