Rabu, 20 Mei 2020 | 4:45pm
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - Foto NSTP
Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - Foto NSTP

'Buat ujian COVID-19 yang sertai RTT'

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya melakukan ujian COVID-19 ke atas semua individu terbabit dalam latihan pusat 'Road to Tokyo (RTT)' yang dijadual bermula 1 Jun ini.

Selain itu, beliau juga berharap kementerian berkenaan dapat melakukan ujian sama secara berkala sepanjang tempoh latihan yang berlangsung ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Saya ingin memohon pihak KBS, jika boleh semua atlet tersenarai, jurulatih, pembantu dan sesiapa yang berada di akademi (pusat latihan)… supaya memastikan mereka melakukan ujian COVID-19 terlebih dulu.

"Prosedur ini harus dibuat kepada semua yang berada di tempat berkenaan lebih-lebih lagi ketika berada di pusat kuarantin… lebih dikuarantin, lebih prosedur dan lebih ketat langkahnya dan kita perlu melakukan ujian COVID-19.

"Dalam masa sama, sekiranya tempoh masa atau tempoh ditetapkan oleh KBS itu panjang, kita mohon KBS melakukan ujian COVID-19 secara berkala atau mengikut SOP (prosedur operasi standard), yang ada tetapi ia harus dibuat terlebih dulu," kata Megat.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua atlet RTT dibenarkan kembali menjalani latihan dalam tempoh PKPB bermula 1 Jun ini. Kelonggaran khas itu membabitkan 265 individu termasuk 57 atlet bagi persiapan dan sesi latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo.

Bagaimanapun, mereka semua perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan KBS termasuk menggunakan pendekatan kuarantin selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

Sesi latihan akan dijalankan di tiga kem latihan berpusat yang ditetapkan iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil membabitkan 181 individu; Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara (56 individu) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi (28 individu).

"Ini satu perkara yang menggembirakan dan RTT ini kita tak akan abaikan dan sia-siakan. InsyaAllah selepas raya, saya akan berjumpa dengan atlet dan memaklumkan maklumbalas yang diperlukan kepada pihak menteri sendiri dan juga KBS," kata Megat.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X