Selasa, 19 Mei 2020 | 3:52pm

Atlet program RTT berlatih 1 Jun

KUALA LUMPUR: Semua atlet di bawah program Road to Tokyo (RTT) dibenarkan kembali menjalani latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 1 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran khas yang membabitkan 265 individu termasuk 57 atlet bagi persiapan dan sesi latihan untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun.

Katanya, sesi latihan akan dijalankan di tiga kem latihan berpusat yang ditetapkan iaitu Kompleks Sukan Bukit Jalil membabitkan 181 individu, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara (56 individu) dan Pusat Latihan Perayu Layar Kebangsaan, Langkawi (28 individu).

"Kem latihan berpusat akan bermula pada 1 Jun sehingga 30 Jun sebagai fasa pertama yang mana saringan COVID-19 akan dilakukan ketika pendaftaran.

"KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach) selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

"Mereka yang terlibat tidak dibenarkan keluar kem latihan berpusat. Sebelum tamat tempoh latihan, mereka juga akan dikenakan saringan COVID-19," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKPB di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut memberitahu, satu Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan kem latihan berpusat ini dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Pandelela Rinong (kiri) dan Leong Mun Yee yang tersenarai dalam program RTT sudah boleh menjalani latihan bermula 1 Jun ini.
    Pandelela Rinong (kiri) dan Leong Mun Yee yang tersenarai dalam program RTT sudah boleh menjalani latihan bermula 1 Jun ini.
    Berita Harian X