Isnin, 18 Mei 2020 | 5:52pm
Harrif (depan) dakwa beliau dan rakan masih belum terima hadiah kemenangan.
Harrif (depan) dakwa beliau dan rakan masih belum terima hadiah kemenangan.

Kontrak penganjur LTdL boleh dikaji semula

KUALA LUMPUR: Kontrak penganjuran kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dipegang oleh Human Voyage (M) Sdn Bhd sehingga 2021, boleh dikaji semula sekiranya syarikat pengurusan acara itu gagal menjelaskan wang kemenangan LTdL 2020.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhak mengkaji kontrak berkenaan kerana Human Voyage masih gagal melunaskan wang kemenangan kepada beberapa pelumba tempatan yang meraih kedudukan podium pada edisi ke-25 perlumbaan berbasikal terkemuka Asia itu.

Beliau mendakwa KBS sudah menyalurkan wang kemenangan berjumlah lebih RM800,000 kepada pihak penganjur, namun mereka dikatakan masih gagal melaksanakan pembayaran berkenaan kepada beberapa pelumba tempatan.

"Tiada tindakan boleh dilakukan oleh PKBM kerana pihak penganjur terikat dengan kontrak KBS, namun saya yakin pihak penganjur akan bayar kepada pemenang, cuma saya tidak pasti bila mereka akan jelaskan bayaran berkenaan.

"Sekiranya mereka (penganjur) sudah buat pemindahan wang kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), dan pihak penganjur serahkan salinan pemindahan wang berkenaan kepada PKBM, barulah kita anggap mereka sudah selesaikan bayaran kepada pemenang terlibat," katanya hari ini.

Baru-baru ini, pelumba Terengganu Inc. TSG Cycling Team, Mohd Harrif Saleh mendakwa beliau dan rakan sepasukan masih belum menerima sebarang wang kemenangan susulan kejayaan yang diraih pada LTdL 2020.

Anak jati Terengganu itu meraih dua kemenangan peringkat iaitu peringkat kelima dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh dan peringkat ketujuh dari Bagan ke Alor Setar, selain menduduki tempat ketiga kategori Raja Pecut (jersi biru).

Pasukan berkenaan pula muncul pasukan kedua terbaik keseluruhan di belakang satu lagi pasukan benua tempatan, Team Sapura Cycling pada saingan LTdL 2020.

Human Voyage diberi hak penganjuran LTdL dari 2019 sehingga 2021 oleh KBS. - BERNAMA

Berita Harian X