Sabtu, 9 Mei 2020 | 3:33pm
MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berucap pada sidang media selepas sesi lawatan ke Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Foto BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berucap pada sidang media selepas sesi lawatan ke Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. - Foto BERNAMA

Reezal percepat permohonan latihan berpusat RTT

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bakal mempercepatkan proses permohonan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bagi membolehkan latihan berpusat khas atlet 'Road to Tokyo (RTT)' dilaksanakan.

Sebelum ini, beliau bercadang mengemukakan permohonan berkenaan selepas sambutan Aidilfitri

bagi membolehkan atlet RTT menjalani latihan dalam tempoh sukar COVID-19 ini.

Namun baginya, ia harus dipercepatkan memandangkan latihan secara berpusat lebih baik berbanding apa yang dilakukan secara kendiri di rumah.

"Apa yang lebih penting untuk saya adalah meneliti program berkaitan RTT 2020," kata Reezal selepas melawat Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, hari ini.

"Atlet RTT 2020 yang terbabit di sini adalah seramai 16 orang. Adalah amat penting ketika kita mengamalkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) ini dan semua maklum terdapat sukan tertentu yang masih tidak diberi kelonggaran dan tidak dibenarkan.

"Namun bagi pihak KBS, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), selain bersama MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan persatuan sukan berkaitan mahu saya mengemukakan permohonan secara berasingan bagi mendapatkan kelonggaran dan kelulusan khas untuk program RTT 2020.

"Walaupun pada awalnya, saya memaklumkan akan mengemukakannya selepas hari raya tetapi berdasarkan kesiapsiagaan yang terdapat di ABM, saya merasakan akan membawa perkara ini sebelum raya,".

Reezal yang diberi penerangan mengenai ABM oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut memberi bayangan latihan pusat berkenaan dapat bermula pada 1 Jun ini sekiranya menerima kelulusan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sekiranya dibenarkan, semua yang terbabit harus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Jumlah terbabit termasuk pegawai adalah dalam 50 tetapi semua ini akan melalui SOP yang ketat. Latihan untuk atlet elit terutama yang terbabit dengan RTT ini boleh bermula sekiranya menerima persetujuan, kelulusan daripada MKN dan KKM," katanya.

Berita Harian X