Selasa, 5 Mei 2020 | 6:05pm
Gambar fail, Ketua Kontijen Malaysia (CDM) ke Sukan Para Asean Filipina, Datuk Megat D Shahriman (berdiri, dua kiri) menyaksikan pasukan bola tampar duduk Para negara menjalani latihan bagi persiapan ke Para Asean Filipina ketika mengadakan lawatan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg Pandan. - Foto Owee Ah Chun
Gambar fail, Ketua Kontijen Malaysia (CDM) ke Sukan Para Asean Filipina, Datuk Megat D Shahriman (berdiri, dua kiri) menyaksikan pasukan bola tampar duduk Para negara menjalani latihan bagi persiapan ke Para Asean Filipina ketika mengadakan lawatan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kg Pandan. - Foto Owee Ah Chun

Malaysia sedia bantu tuan rumah baru Sukan Para ASEAN

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bersedia menghulurkan tangan kepada pengganti tuan rumah Sukan Para ASEAN 2020 selepas Filipina menarik diri, baru-baru ini.

Filipina menerusi Pesuruhjaya Sukan Filipina (PSC) mengambil keputusan itu selepas beberapa kali menunda tarikh penganjuran dengan terbaru membatalkannya susulan penularan COVID-19.

"APSF (Persekutuan Sukan Para ASEAN) masih belum memberitahu MPC mengenai status APG (Sukan Para ASEAN). Kami sudah menghantar emel untuk mendapatkan tarikh mesyuarat dan buat masa ini masih menunggu jawapan," kata Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Thailand sebelum ini pernah menawarkan diri sebagai pengganti tuan rumah temasya, namun ia masih dalam bayangan.

"Belum pasti sama ada Thailand akan ambil alih. Sebelum ini, mereka ada menawarkan diri untuk melakukannya.

"Saya akan sokong dan bantu negara yang berminat menjadi hos ini kerana ia penting buat atlet kita untuk mempunyai kalendar kejohanan berprestij. Untuk mempunyai rekod baik, pertemuan baharu dan menilai prestasi mereka sebagai persiapan ke Paralimpik Tokyo tahun depan.

"Saya percaya Malaysia akan bantu mana-mana negara yang ingin menjadi hos. Kami terbuka mengenainya. Saya juga percaya barisan EXCO juga okey kerana kami melakukannya atas sebab atlet dan persatuan. InsyaAllah akan ada mesyuarat mengenainya dalam masa terdekat ini," kata Megat.

Berita Harian X