Isnin, 4 Mei 2020 | 6:17pm
 MENTERI Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
MENTERI Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KBS bakal kemuka permohonan latihan berpusat khas RTT

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan mengemukakan permohonan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri selepas sambutan Aidilfitri bagi membuka latihan berpusat khas bagi atlet 'Road to Tokyo (RTT)' menjalani latihan dalam tempoh sukar COVID-19 ini.

Cadangan itu dicapai selepas beliau mengadakan satu sesi perjumpaan menerusi persidangan video bersama 11 persatuan sukan kebangsaan yang juga pemegang taruh latihan elit RTT, pagi ini.

Perjumpaan secara maya itu juga adalah yang pertama diadakannya bersama persatuan sukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

"Untuk latihan atlet RTT yang memerlukan fasiliti spesifik seperti gelanggang badminton, kolam renang, bilik gymnasium dan pelayaran, saya sudah mencadangkan untuk mengemukakan permohonan khas kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP yang dipengerusikan Menteri Kanan Keselamatan selepas Aidilfitri nanti.

"Ini adalah untuk mencadangkan latihan pusat sukan berprestasi tinggi RTT, tetapi melihat juga kepada kesesuaian keadaan pada ketika itu," kata Reezal Merican dalam satu kenyataan dikeluarkan KBS, hari ini.

Turut diperbincangkan dalam sesi berkenaan adalah mengenai proses kelayakan atlet terkini ke Sukan Olimpik Tokyo dan Paralimpik, perancangan program latihan dan juga program yang dijalankan persatuan termasuk pembangunan di peringkat negeri.

Reezal Merican turut memaklumkan perancangan mengenai garis panduan (SOP) yang sedang diusahakan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk sukan yang dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ini termasuk mengenai bagaimana sukan yang masih tidak dibenarkan dalam PKPB dapat mengembangkan skop latihan di luar rumah, padang ataupun tempat terbuka.

"Saya ada pesan kepada persatuan sukan kebangsaan supaya merancang bersama atlet, jurulatih, MSN dan ISN untuk mengambil peluang mengembangkan skop dan program latihan sedia ada dengan mematuhi larangan dan arahan semasa MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KKM (Kementerian Kesihatan)," katanya.

Berita Harian X