Selasa, 14 April 2020 | 7:35pm
Putera Adrien Danish Mohd Fuad, sandaran emas di Sukma 2020. Foto Ihsan PPLNS
Putera Adrien Danish Mohd Fuad, sandaran emas di Sukma 2020. Foto Ihsan PPLNS

Putera Adrien sandaran emas NS di Sukma 2020

SEREMBAN: Persatuan Perahu Layar Negeri Sembilan (PPLNS) menyandarkan harapan kepada Putera Adrien Danish Mohd Fuad untuk merangkul pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020, di Johor.

Presiden PPLNS Lawrence Yeow berkata, Putera Adrien Danish adalah pelayar muda berbakat dan pernah memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA Filipina 2019 dalam acara Optimis.

Bagaimanapun pelayar terbabit tidak dapat beraksi dalam acara Optimis pada Sukma nanti kerana melebihi umur dan dia akan membawa cabaran dalam acara baharu, Laser 4.7.

“Namun, saya yakin Putera Adrien Danish mampu melakukan persembahan cemerlang dalam acara itu dan seterusnya meraih pingat emas untuk Negeri Sembilan.

Gandingan Putera Adry Haqqim dan Muhammad Ammar Wajdi dalam acara International 470, disasarkan pingat perak. Foto Ihsan PPLNS
Gandingan Putera Adry Haqqim dan Muhammad Ammar Wajdi dalam acara International 470, disasarkan pingat perak. Foto Ihsan PPLNS

“Kami juga turut mensasarkan dua pingat perak menerusi gandingan Putera Adry Haqqim dan Muhammad Ammar Wajdi dalam acara International 470,” kata Lawrence.

Berkenaan persiapan skuad ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lawrence berkata ketika ini atlet tidak dapat menjalani latihan di perairan pantai Port Dickson seperti ditetapkan kerana mematuhi arahan PKP.

“Persiapan atlet Sukma kita sememangnya terganggu kerana tidak dapat menjalani latihan seperti biasa dan latihan fizikal di rumah masing-masing tidak mencukupi.

"Malah tiga pertandingan peringkat negeri yang juga pra-Sukma tidak dapat disertai selepas dibatalkan kerana Covid-19.

“Sememangnya ia menganggu namun kita perlu hadapinya dan penangguhan Sukma 2020 juga satu langkah tepat demi kepentingan dan keselamatan atlet,” katanya.

PPLNS menyenaraikan 12 pelayar untuk membawa cabaran dalam enam kategori pada temasya itu.

Berita Harian X