Selasa, 14 April 2020 | 3:19pm
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (tiga dari kanan) dan Pengerusi Pemegang Amanah YUN, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyerahkan bantuan kepada Hospital Selayang hari ini. - Foto NSTP
Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (tiga dari kanan) dan Pengerusi Pemegang Amanah YUN, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyerahkan bantuan kepada Hospital Selayang hari ini. - Foto NSTP

YAKEB, YUN hargai jasa barisan hadapan, bekas atlet

KUALA LUMPUR: Bantuan sebanyak RM35,000 berbentuk barangan perubatan disalurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Yayasan Usahawan Negara (YUN) kepada petugas perubatan di Hospital Selayang dan juga Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) sebagai menghargai jasa barisan hadapan negara.

Program ‘Sports4Community’ YAKEB yang dilakukan sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu juga adalah usaha bersama pihak Yayasan bersama Persatuan Permotoran Klasik Malaysia (MCMA), syarikat tudung sarung Cloverush, Yayasan Hydrocephalus Negara dan Gleuri Flowes.

Antara barangan yang disalurkan adalah seperti alat pemantau suhu badan, peralatan perlindungan diri (PPE), topeng muka, sarung tangan dan tudung sarung bagi penggunaan petugas perubatan di hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata: “Kami (YAKEB dan YUN) memutuskan untuk menyerahkan bantuan kepada Hospital Selayang kerana merasakan tidak ada keperluan bergerak ke beberapa lokasi dalam situasi kritikal pandemik COVID-19 ini.

“Namun sebab utamanya lebih kepada Hospital Selayang ini yang banyak membantu memberi nasihat kepada YAKEB dan menjadi pemudah cara dalam mendapatkan rawatan perubatan kepada bekas atlet negara sekali gus melicinkan tugas kami.

“Salah seorang Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman juga adalah Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Selayang.”

Turut hadir dalam program berkenaan adalah Pengerusi Pemegang Amanah YUN yang juga Ahli Lembaga Pengarah YAKEB, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang menyerahkan alat pemantau suhu badan dan topeng muka bernilai RM3,000.

Dalam pada itu, Noorul turut menyatakan 50 lagi bekas atlet kebangsaan akan menerima bantuan RM500 setiap seorang dalam fasa ketiga pembayaran pada minggu ini.

“YAKEB mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican atas keprihatinan beliau terhadap golongan bekas atlet kebangsaan yang pastinya terkesan dengan PKP yang dilaksanakan ketika ini,” kata Noorul.

Berita Harian X