X
Rabu, 25 March 2020 | 5:19pm

SUKMA 2020 ditangguh

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 ditangguhkan susulan penularan COVID-19.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA menerusi sidang video, hari ini dengan tarikh baharu temasya dwitahunan itu akan diputuskan selewat-lewatnya pada awal Mei depan.

"Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia membuat keputusan itu selepas mengambil kira aspek paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua yang terbabit dalam temasya berkenaan.

"Mesyuarat juga mengenalpasti dua cadangan tarikh yang menjadi pilihan majoriti iaitu pada Disember 2020 atau dianjakkan ke tahun 2021.

"Ia setelah mengambil kira beberapa perkara termasuk pemantauan berterusan perkembangan wabak COVID-19, tiada pertindihan dengan tarikh penting yang lain dan meneliti kepentingan semua pemegang taruh.

"Saya juga sudah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Para SUKMA Johor 2020 untuk mengambil tindakan serupa untuk menangguhkan temasya itu yang dijadualkan selepas SUKMA Johor 2020," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. - Foto KBS
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA. - Foto KBS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X