X
Rabu, 25 March 2020 | 3:10pm
Orang ramai mengambil gambar di belakang Logo Olimpik di Odaiba Seaside Park di Tokyo. AFP
Orang ramai mengambil gambar di belakang Logo Olimpik di Odaiba Seaside Park di Tokyo. AFP

OCA, MOM sokong tangguh Tokyo 2020

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melahirkan sokongan penuh keputusan kerajaan Jepun dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 sehingga tahun depan, ekoran penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Ketua Pengarah OCA Husain Al Musallam dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi berkata mereka menghargai langkah itu, sambil menambah kesihatan dan kesejahteraan para atlet dan semua pihak berkepentingan dalam Sukan Olimpik mesti menjadi keutamaan.

Justeru, Husain berkata ia adalah masa yang sesuai bagi pergerakan sukan Olimpik di seluruh dunia untuk menunjukkan perpaduan serta bekerja sebagai satu pasukan dalam persiapan untuk masa depan yang lebih cerah.

“Pada masa ini, kami ingin menzahirkan simpati yang mendalam kepada Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 untuk semua kerja, perancangan dan persediaan yang telah mereka lakukan selama beberapa tahun - hanya disebabkan pandemik yang tidak dijangka ini yang telah mengubah sejarah perjalanan Olimpik,” katanya.

“Kami tahu Jepun akan pulih daripada rintangan ini dan akan menjadi penganjur yang lebih baik untuk menandakan kemunculan manusia selepas berjaya memerangi virus ini. Kami juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada para atlet Asia untuk segala usaha mereka bagi kelayakan atau cubaan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria turut menyokong penangguhan itu sambil berkata ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan antarabangsa dan tempatan yang relevan, untuk memastikan kepentingan atlet Malaysia sentiasa dilindungi.

“Kami gembira keputusan ini diambil sekarang dan bukannya kemudian. Kebimbangan utama kami adalah keselamatan dan kesejahteraan para atlet dan kami berempati dengan para atlet yang layak ke Tokyo 2020.

“Apa yang berlaku hari ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu keutamaan kami sebagai komuniti sukan adalah untuk menyokong Kerajaan kita dalam usahanya untuk menghapuskan ancaman COVID-19,” kata Mohamad Norza dalam kenyataan yang dikeluarkan MOM hari ini.

Beliau juga mendedahkan bahawa MOM akan mengadakan rundingan dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Persatuan Sukan Kebangsaan pada masa akan datang mengenai mengenai implikasinya terhadap atlet kebangsaan berikutan penangguhan itu. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X