Sabtu, 21 March 2020 | 3:16pm
Gambar fail, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Foto Owee Ah Chun
Gambar fail, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - Foto Owee Ah Chun

Bekas atlet dijangkiti COVID-19 diberi keutamaan

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) menegaskan bekas atlet yang dijangkiti atau disyaki positif wabak COVID-19 akan diberi keutamaan dalam mendapatkan bantuan yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), semalam.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai bekas atlet yang dijangkiti wabak itu.

“Bagaimanapun, kami sudah mengambil tindakan menghantar SMS (pesanan ringkas) kepada semua bekas atlet, menyatakan YAKEB sentiasa membantu mereka sekiranya mengalami kesukaran atau disyaki dijangkiti penyakit terbabit

“Kalau disyaki (atau dijangkiti) secara langsung kami akan membantu mereka daripada segi perubatan atau apapun cara untuk diubati,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM100,000 menerusi Tujuh Inisiatif Proaktif KBS kepada YAKEB.

Peruntukan berkenaan disalurkan dalam usaha membantu dan menyokong bekas atlet yang memerlukan sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac.

Menurut Noorul, pihaknya juga akan membantu seramai 2,875 ahli berdaftar sekiranya pendapatan harian mereka atau ekonomi mereka terjejas kerana penularan wabak itu.

“Selain membantu mereka yang secara langsung dijangkiti, disyaki wabak COVID-19, fasa kedua kami akan meneliti, adakah pendapatan harian atau ekonomi mereka terjejas kerana penularan wabak ini.

“Ini kerana ramai bekas atlet yang mempunyai gerai kecil-kecilan atau mengusahakan ‘food truck’ dan pada waktu ini mereka tidak dibenarkan berniaga… ini mungkin menjejaskan pendapatan harian mereka.

“Ada juga bekas atlet yang membuka kelas seperti taekwondo, karate ataupun silat, mungkin juga mereka terjejas dan kami akan menelitinya.

“Jadi, kami akan akan membuat satu SOP (prosedur operasi standard) supaya kami dapat membuat pengagihan bantuan yang seadilnya,” katanya.

Noorul juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Reezal Merican kerana keprihatinannya dalam membantu bekas atlet.

“Walaupun baru menduduki pejabat dalam 10 hari, namun beliau sudah menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab membantu bekas atlet. Terima kasih kami ucapkan kepada menteri,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X