Khamis, 19 March 2020 | 3:16pm
Mohd Harrif melakukan kayuhan setempat di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac ini. - Foto Ihsan Mohd Hariff Saleh
Mohd Harrif melakukan kayuhan setempat di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac ini. - Foto Ihsan Mohd Hariff Saleh

COVID-19: Tangguh dulu balik kampung, bercuti - Harrif

KUALA TERENGGANU: Pakar pecut Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh merayu orang ramai agar mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula semalam sehingga 31 Mac ini.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 32 tahun itu berkata, orang ramai perlu menangguhkan terlebih dahulu tindakan pulang ke kampung atau bercuti meskipun pada musim cuti sekolah sebagai langkah membendung penularan wabak koronavirus (COVID-19).

Katanya, wabak itu tidak mengenal siapa, justeru langkah diambil kerajaan itu perlu dipandang serius bagi mengelak berlakunya penularan kepada diri, keluarga dan orang ramai.

"Masyarakat tidak boleh mengambil kesempatan menggunakan tempoh PKP selama dua minggu ini untuk pulang ke kampung halaman atau membawa keluarga bercuti ke mana-mana destinasi.

"Jika mereka sudah rancang lebih awal untuk bercuti atau pulang ke kampung, saya merayu mereka perlu batalkan terlebih dahulu hasrat itu bagi membendung penularan wabak COVID-19 kerana virus itu tidak mengenal siapa kita sekiranya dijangkiti.

"Pengumuman kerajaan berhubung perintah berkenaan tidak boleh dipandang remeh, elakkan melepak di tempat-tempat yang diwartakan tidak boleh berkumpul, walaupun tiada simptom tapi risikonya cukup besar, mencegah itu adalah lebih baik," kata Harrif.

Pemenang dua peringat perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) bulan lalu itu turut mengingatkan semua atlet tidak melakukan aktiviti di luar rumah sebaliknya mengubahsuai latihan di kawasan kediaman masing-masing.

"Sekarang musim bahaya, hadkan dulu aktiviti di luar sana dan sabar, sebagai atlet saya juga nasihat atlet-atlet lain buat latihan di kawasan kediaman masing-masing, lagipun saya sendiri juga melakukan latihan kayuhan setempat di rumah untuk mengekalkan stamina.

“Ini kerana bukan masanya untuk kita 'enjoy' di luar sana seperti biasa, setiap orang perlu melindungi dirinya dan juga orang tersayang, jangan dah terkena baharu nak menyesal.

"Buat barisan hadapan negara termasuk pihak keselamatan, doktor, jururawat serta kakitangan hospital dan klinik serta semua yang terlibat secara langsung ataupun sebaliknya, ucapan terima kasih dihulurkan kepada mereka yang bertungkus-lumus membendung dan mengubati mereka yang terkena virus itu.

"Biarpun mereka sedar turut berdepan risiko berkaitan penularan wabak COVID-19 itu, tapi pengorbanan mereka harus dihargai semua ibarat wira yang tidak didendang," kata Hariff.

Berita Harian X