Rabu, 18 March 2020 | 8:13am
Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetap akan berlangsung mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos. - Foto Reuters
Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetap akan berlangsung mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos. - Foto Reuters

Olimpik Tokyo 2020 tetap diteruskan

LAUSANNE: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak bercadang untuk melakukan sebarang keputusan drastik berhubung penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan badan induk itu tetap komited untuk memastikan temasya itu berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan biarpun diselubungi penularan jangkitan COVID-19.

IOC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, berkata perbincangan akan dilakukan bersama persekutuan sukan antarabangsa bagi melakukan perubahan mengenai proses kelayakan susulan impak daripada wabak berkenaan.

Bagaimanapun, temasya terbesar dunia itu tetap akan berlangsung mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos.

“IOC kekal komited terhadap penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan berbaki empat bulan lagi sebelum temasya bermula, tidak perlu sebarang keputusan drastik buat masa ini.

“Sebarang spekulasi pada masa ini adalah tidak produktif.

“IOC menggalakkan semua atlet untuk terus melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebaik mungkin,” kata kenyataan itu, kurang sejam selepas Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan penangguhan Euro 2020 selama setahun dan akan berlangsung pada 2021.

Spekulasi mengenai penganjuran Olimpik Tokyo sebelum ini hangat diperkatakan susulan penularan COVID-19 yang sudah menjangkiti 190,000 orang dan meragut nyawa 7,500 orang di seluruh dunia.

Hampir semua acara sukan di seluruh dunia ditangguhkan sekali gus menjejaskan proses kelayakan Olimpik membabitkan 33 sukan.

Setakat ini, 57 peratus daripada 11,000 atlet sudah pun mengesahkan tempat beraksi pada Olimpik Tokyo 2020.

“Bagi baki 43 peratus tempat lagi, IOC akan bekerjasama dengan persekutuan sukan antarabangsa untuk melakukan perubahan yang diperlukan dan sesuai berhubung proses kelayakan ke Tokyo 2020,” katanya. - Reuters

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X