Isnin, 16 March 2020 | 8:04pm
PRESIDEN MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
PRESIDEN MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

MPM cadang APG ditangguh

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mencadangkan supaya Sukan Para ASEAN (APG) di Filipina, ditangguh sehingga selesai Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadual dari 25 Ogos hingga 6 September, supaya tidak mengganggu persediaan atlet.

Berikutan penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan banyak acara sukan termasuk kejohanan kelayakan Paralimpik ditangguh dan dibatalkan, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berpendapat adalah baik untuk APG diadakan selepas September.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa sekiranya edisi ke-10 APG itu diadakan dalam tempoh hampir sebelum Paralimpik, pihaknya mungkin tidak akan menghantar kontinjen negara menyertai APG kerana akan mengganggu persediaan ke Tokyo.

“Seeloknya selepas Paralimpik… dengan banyak kejohanan ditunda dan atlet pun tidak dapat ke luar negara untuk latihan atau kejohanan berikutan COVID-19, saya rasa penganjur patut tangguhkan APG,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi persidangan video dengan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan di sini, hari ini.

MPM sebelum ini membantah tarikh baharu yang dicadangkan oleh Filipina iaitu bermula 26 Mei hingga 2 Jun ini kerana tarikh itu hampir dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 24 dan 25 Mei ini.

Megat Shahriman berkata apa-apa keputusan yang diambil dalam mesyuarat dalam talian itu, akan dibincangkan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata antara perkara dibangkitkan oleh Malaysia ialah tarikh dan venue kejohanan, sukan yang akan dipertandingkan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani COVID-19 seperti garis panduan dan pusat evakuasi.

“Kita mahu tahu persetujuan sembilan negara sama ada kita teruskan atau tidak. Perkara ini (COVID-19) tidak boleh diambil ringan dan saya rasa keputusan tidak boleh capai berdasarkan sidang video.

Bagaimanapun, kita jelas bahawa kita tidak dapat ambil apa-apa keputusan sehingga 30 April ini berikutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas supaya membatalkan atau menangguh semua perhimpunan termasuk acara sukan sehingga 30 April,” katanya.

APG pada awalnya dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 24 Januari, ditunda ke 20 hingga 28 Mac kerana masalah bajet dan logistik pihak penganjur, namun temasya itu ditunda buat kali kedua akibat penularan wabak COVID-19. - BERNAMA

Berita Harian X