Khamis, 12 March 2020 | 8:44pm
Noorul (kanan) dan Mohammad Azman (kiri) bersalam selepas menandatangani MOU antara YAKEB dan Agitos PLT. Foto ihsan YAKEB
Noorul (kanan) dan Mohammad Azman (kiri) bersalam selepas menandatangani MOU antara YAKEB dan Agitos PLT. Foto ihsan YAKEB

YAKEB perlu dana tahunan RM3 juta

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) memohon Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk mempertimbangkan pemberian dana khas setiap tahun bagi memastikan kebajikan bekas atlet negara terbela.

Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, kali terakhir pihaknya menerima dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah pada tahun 2018 berjumlah RM250,000.

“Namun ia tidak mencukupi kerana kita perlu menanggung kos rawatan bekas atlet yang mana kosnya semakin lama semakin tinggi,” kata Noorul pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Agitos PLT yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Azman Abdul Rahman hari ini.

“Sebenarnya, dari dulu lagi kami harap sangat KBS dapat menyediakan dana khas yang diperuntukkan kepada YAKEB setiap tahun.

“Walaupun sedikit, kami tetap hargai supaya masyarakat di luar tahu yang kerajaan mengambil berat perjuangan bekas atlet sebelum ini.

“Sebab itu kami mahu bertemu dengan menteri yang baharu bagi menjelaskan berkenaan perancangan dan agenda kami.”

Menurut Noorul, jika bukan disebabkan peruntukan khas yang disalurkan Kementerian Kewangan pada tahun lalu sebanyak RM3 juta, YAKEB sudah pasti tidak lagi beroperasi pada hari ini.

Ditanya berapakah peruntukan yang diperlukan oleh YAKEB daripada KBS, Noorul berkata: “Kalau boleh kita mohon dana sebanyak RM3 juta setahun tetapi berapa pun yang diberikan kita terima.

“Bagi seorang bekas atlet rawatan di hospital swasta memakan belanja antara RM20-30 ribu seorang dan ketika ini Yakeb mempunyai 2,875 atlet. Jadi sekurang-kurangnya Yakeb memerlukan dana RM3 juta setahun.”

Sementara itu, Noorul berterima kasih kepada Agitos PLT yang memberi peluang pekerjaan kepada bekas atlet.

Agitos menyediakan aplikasi Fit4P yang memberi peluang pekerjaan kepada bekas atlet untuk menjana pendapatan bermula dari RM300 hingga RM3,000 sebulan dan sebanyak RM0.40 akan disumbangkan kepada YAKEB sebulan bagi setiap pelanggan yang dilatih oleh ahli YAKEB menggunakan aplikasi berkenaan.

Berita Harian X