X
Rabu, 11 March 2020 | 5:35pm
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berang dengan tindakan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC), Michael Barredo yang membuat keputusan bersendirian berhubung tarikh baharu Sukan Para ASEAN. - NSTP/Owee Ah Chun
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berang dengan tindakan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC), Michael Barredo yang membuat keputusan bersendirian berhubung tarikh baharu Sukan Para ASEAN. - NSTP/Owee Ah Chun

Megat berang tindakan Barredo

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berang dengan tindakan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC), Michael Barredo yang membuat keputusan bersendirian berhubung tarikh baharu Sukan Para ASEAN.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, berkata beliau dan barisan Exco terkejut dengan tindakan Barredo yang mengumumkan tarikh baharu temasya bermula dari 26 Mei hingga 2 Jun.

“Kesannya memang ada, tarikh yang dicadang Filipina itu tidak di bawa ke Mesyuarat Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) dan tidak silap saya ia serentak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri ketiga.

"Kita memang perlukan tarikh sebenar tapi kalau seperti ini ia mengejutkan dan kacau persediaan atlet. Sebab itu, MPM perlukan kepastian.

“Jadi, kita akan bincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta mengadakan sidang video bersama APSF minggu depan (Isnin). Apa yang mereka buat ini tiada garis panduan dan hitam putih.

“Sebelum buat keputusan kita perlu adakan mesyuarat terlebih dulu. Tidak adil pilih tarikh tanpa mesyuarat, ini yang MPM ingin tekankan," katanya pada sidang media, hari ini.

Ditanya berkemungkinan temasya itu akan diadakan selepas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Megat D Shariman tidak menolak kemungkinan berkenaan.

"Kita juga ada mendengar ura-ura, secara tidak rasmi Thailand mahu menggantikan Filipina sebagai tuan rumah," katanya.

Sukan Para ASEAN 2019 pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 24 Januari, namun ditunda kepada 20 hingga 28 Mac sebelum ditangguhkan buat kali kedua susulan penularan COVID-19.

Berita Harian X