Rabu, 19 Februari 2020 | 6:27am
Nishant Shetty bersama dua kerbaunya berjaya mengatasi rekod yang dicipta Gowda yang digelar ‘Usain Bolt India’ itu apabila melakukan larian sejauh 143m dengan catatan 13.61 saat (s). - Foto Twitter
Nishant Shetty bersama dua kerbaunya berjaya mengatasi rekod yang dicipta Gowda yang digelar ‘Usain Bolt India’ itu apabila melakukan larian sejauh 143m dengan catatan 13.61 saat (s). - Foto Twitter

Rekod dunia 'Usain Bolt India' pula lebur

NEW DELHI: Selepas Srinivas Gowda melebur rekod dunia 100 meter (m) Usain Bolt dengan bantuan dua kerbaunya, seorang lagi pelari India turut memecahkan rekod larian manusia terpantas itu dalam pertandingan Kambala.

Lebih menarik, menurut media tempatan hari ini, Nishant Shetty bersama dua kerbaunya berjaya mengatasi rekod yang dicipta Gowda yang digelar ‘Usain Bolt India’ itu apabila melakukan larian sejauh 143m dengan catatan 13.61 saat (s).

Catatan itu menyamai 9.51s untuk 100m - 0.04s lebih pantas daripada catatan Gowda dan 0.07s lebih laju daripada Bolt.

Terdahulu, Gowda yang berlari sepanjang 142.5m dengan catatan 13.62s pada 31 Januari lalu melakar rekod baharu pada saingan yang dinamakan Kambala di bahagian Selatan wilayah Karnataka.

Ini bermakna dia berjaya melakukan larian 100m dengan catatan 9.55s, berbanding rekod dunia milik Bolt 9.58s sekali gus menyaksikan pekerja binaan itu menjadi popular dan digelar ‘Usain Bolt India’.

Malah dia mendapat tawaran daripada Menteri Sukan untuk mengambil bahagian dalam sesi percubaan bersama skuad olahraga negara itu.

Kambala adalah kejohanan tahunan di Karnataka dengan peserta berlari bersama dua kerbau yang diikat dengan tali.

Gowda yang menemui Ketua Menteri semalam bagaimanapun menolak tawaran untuk sesi percubaan acara trek, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada sukan yang diceburinya itu apabila menyatakan Kambala dan trek adalah dua acara yang berbeza.

“Ramai yang pernah beraksi dalam acara trek mencuba beraksi di Kambala tetapi tidak berjaya. Di Kambala kami berlari menggunakan tumit manakala di trek menggunakan tapak kaki.

“Saya tidak pernah menjangka meraih populariti seperti sekarang. Kredit harus diberikan kepada kerbau saya,” katanya. - AFP

Berita Harian X